Isnin, 26 Februari 2018 | 11:12pm
GAMBAR fail, penduduk tempatan menunggu bantuan bekalan makanan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), di Sudan Selatan, pada 3 Februari 2016. - Foto AFP
GAMBAR fail, penduduk tempatan menunggu bantuan bekalan makanan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), di Sudan Selatan, pada 3 Februari 2016. - Foto AFP

Penduduk Sudan Selatan di ambang kebuluran

JUBA: Sudan Selatan semakin menghampiri satu lagi bencana kebuluran, kata pegawai bantuan hari ini, selepas lebih empat tahun terbabit dalam perang saudara dan gencatan senjata gagal di negara termuda dunia itu.

Hampir dua pertiga penduduknya memerlukan bantuan makanan tahun ini untuk mengelak kelaparan dan kekurangan nutrisi, ketika beberapa kumpulan bantuan bersiap sedia menghadapi 'tahun paling sukar dalam rekod', kata pegawai kumpulan kerja termasuk pegawai Sudan Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Situasi ini amat rapuh dan kita hampir menyaksikan satu lagi kebuluran. Petunjuk sedia ada jelas. Jika kita tidak menghiraukan mereka, kita akan berdepan tragedi lebih buruk," kata wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) di Sudan Selatan, Serge Tissot.

Sejumlah 5.3 juta orang atau 48 peratus penduduk negara itu sudah berada dalam krisis atau kecemasan, berada di tahap tiga atau empat dalam skala lima mata, menurut tinjauan yang diterbitkan kumpulan bekerja itu.

Negara kaya minyak timur Afrika itu berpecah belah akibat perang saudara etnik sejak akhir 2013, apabila tentera setia kepada Presiden Salva Kiir dan bekas Naib Presiden Riek Machar, bertembung.

Sejak itu, lebih empat juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sehingga mencetuskan krisis pelarian terbesar di Afrika sejak insiden pembunuhan beramai-ramai Rwanda pada 1994.

PBB mengisytiharkan kebuluran di dua daerah Februari tahun lalu, namun berkata, krisis terbabit semakin reda Jun tahun sama. - Reuters

Berita Harian X