Ahad, 6 Ogos 2017 | 11:53pm

8 maut, serangan pengebom nekad di utara Cameroon

YANOUNDE: Sekurang-kurangnya lapan maut dalam satu serangan pengebom nekad di utara Cameroon semalam.

Ketua jawatankuasa keselamatan tempatan berkata, insiden terbabit berlaku di perkampungan Ouro-Kessoum, terletak dua kilometer dari sempadan Nigeria.

"Setakat ini lapan orang terbunuh manakala empat lagi cedera. Mangsa yang cedera sudah dipindahkan ke Mora untuk rawatan lanjut," katanya yang enggan dikenali.

Perkampungan Ouro-Kessoum terletak di kawasan yang lazim menjadi mangsa serangan militan Boko Haram, menyebabkan segelintir penduduk kampung membuat keputusan meninggalkan kediaman mereka.

Pertengahan Julai lalu, dua serangan pengebom nekad meragut nyawa 15 orang di pekan Wasa, juga berhampiran sempadan Nigeria.

Serangan berkenaan adalah sebahagian daripada siri keganasan oleh puak militan sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Berita Harian X