Jumaat, 11 March 2022 | 11:43am
Johan, Alia dan Rozita Che Wan melancarkan koleksi tudung dalam usaha membantu memperkasa golongan wanita.
Johan, Alia dan Rozita Che Wan melancarkan koleksi tudung dalam usaha membantu memperkasa golongan wanita.

Jols sasar jualan RM1.3 juta koleksi tudung Che Ta

KUALA LUMPUR: Kilang percetakan tudung dan kain, Jols Luxe Fabrics optimis kerjasama dengan selebriti popular, Rozita Che Wan mengeluarkan koleksi tudung akan mencapai matlamat diingini.

Sebanyak 13 Koleksi Tudung Jols for Rozita Che Wan dilancarkan bersempena Hari Wanita Sedunia 8 Mac lalu di sebuah hotel di ibu kota.

Menurut pengasasnya, Johan Lim mereka mensasarkan jualan sebanyak RM1.3 juta dengan 15,000 helai tudung koleksi berkenaan dijangka habis terjual.

"Setiap koleksi tudungdijual sekitar harga RM69 dan RM89. Setiap helai tudung terdapat dua pilihan fabrik yang digunakan iaitu kain satin Adra dan Adel.

"Kedua-dua fabrik ini amatlah eksklusif dan salah satu fabrik itu antara yang paling laris serta sangat digemari pengasas fesyen.

"Selain itu, terdapat juga cenderahati percuma untuk pada pembelian 1,000 helai tudung pertama di laman web rcw.jolsluxe.com," kata Johan.

Tambah Johan lagi, waktu sasaran jualan pula disasarkan sejak 8 Mac lalu sehingga musim raya tahun ini.

"Jika pemintaan memberangsangkan akan ada keluaran koleksi kedua. Ia juga masih dalam perbincangan, malah kami akan mengeluarkan Koleksi Telekung Printed Eksklusif pula pada masa akan datang," kata Johan.

Katanya, pihak syarikat juga sedang mencari agen yang ingin dibantu untuk menjadi master stokis koleksi tudung berkenaan sekali gus menambah pendapatan sampingan di era pandemik menuju endemik ini.

"Saya berharap supaya kejayaan kolaborasi ini berkekalan dan akan melahirkan usahawan wanita yang berjaya dan bekerjaya.

"Malah berharap agar wanita di luar sana bangkit bersama-sama dalam membangunkan diri menjadi luar biasa dan tidak berada di zon selesa," kata Johan.

Katanya, majlis berkenaan menjadi pelancaran pertama yang membabitkan penjualan tudung secara retail.

"Kami adalah kilang percetakan tudung dan kain dengan tagline Pilihan Utama Founder terletak di Subang Jaya, Selangor dengan memfokuskan kepada percetakan tudung dan kain jenama sendiri buat pengasas mahupun pemilik rumah fesyen di Malaysia dan luar negara," kata Johan.

Sementara itu, pengasas bersama jenama itu yang juga isteri kepada Johan dikenali dengan nama Alia @ Seri Hadia berkata mereka memilih Rozita atau Che Ta untuk menjalinkan kolaborasi berkenaan sebagai usaha membantu wanita di Malaysia.

"Ia atas paksi membangkitkan semangat sehingga mengecap kejayaan yang mampu membuka mata dunia bahawasanya wanita juga mampu menjadi usahawan yang berjaya & berkerjaya.

"Kami memilih Che Ta sebagai ikon dalam koleksi ini kerana dia seorang wanita berjaya kerana menceburi pelbagai kerjaya.

"Dia juga seorang ahli perniagaan, pelakon dan duta jenama produk yang telah melalui pelbagai fasa dalam hidupnya tetapi masih bangkit menjadi seseorang yang luar biasa di mata wanita," kata Alia.

Alia atau nama penuhnya, Sri Hadia Sukarman berkata, 13 koleksi tudung yang dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri dengan merujuk kepada personaliti Che Ta selain terdapat gabungan konsep yang menggambarkan ciri-ciri seorang wanita.

"Semua rekaan dibuat selepas menyelidik karakter Che Ta. Say ambil masa juga meneliti entri gambar dan videonya di Instagram.

"Che Ta ini nampak saja macam seorang diva tapi tidak selepas mengenalinya. Dia seorang yang menepati masa dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Sebab itu dia wajah yang sesuai mewakili jenama kami bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia hari ni," katanya.

Lebih istimewa, Alia berkata menerusi 10 peratus hasil jualan koleksi tudung itu akan disalurkan kepada ibu tunggal.

"Misi kami iaitu untuk membantu golongan berkenaan bangun dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya. Serentak pada majlis itu, turut diadakan pertunjukan fesyen 13 koleksi tudung berkenaan selain persembahan Ayu Damit.

Acara yang dikendalikan pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah itu dirasmikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Tan Sri Datuk Mohd Yazid.

Berita Harian X