Jumaat, 17 Disember 2021 | 2:31pm
Sebahagian daripada gerai jualan terdapat di Tradex Exponanza 2021 di Pusat Konvensyen Pameran MATRADE - NSTP/Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada gerai jualan terdapat di Tradex Exponanza 2021 di Pusat Konvensyen Pameran MATRADE - NSTP/Eizairi Shamsudin

Tradex 2021 pencetus pemulihan PKS tempatan

KUALA LUMPUR: Tradex Exponanza 2021 (Tradex 2021) yang diadakan dari 17 hingga 22 Disember 2021 akan menjadi penanda aras kepada pemulihan perniagaan, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Penganjur Tradex 2021, Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, berkata pameran selama enam hari itu dijangka dapat menarik seramai 15,000 pengunjung dengan penyertaan hampir 100 pempamer.

Katanya, Tradex 2021 mendapat sokongan penuh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan ia turut selaras dengan misi perbadanan itu sebagai barisan hadapan ekonomi bagi membantu PKS tempatan pulih pasca pandemik.

Ia berkata, Tradex 2021 juga adalah pameran pertama yang memberikan ruang kepada PKS kembali bangkit selepas hampir setahun berdepan dengan impak COVID-19.

"Menerusi ekspo ini, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk gerai jualan oleh usahawan PKS dari seluruh negara yang menghasil dan mengusahakan pelbagai produk tempatan seperti kraf tangan, pakaian, produk kecantikan serta makanan dan minuman.

"Lebih menarik, ekspo yang berlangsung selama enam hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam ini turut mengadakan Jualan Akhir Tahun Exponanza dengan pelbagai tawaran menarik.

"Selain itu, terdapat pameran kerjaya, pesta trak makanan, pertunjukan program memasak daripada chef terkenal dan forum kesihatan. Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan tawaran hadiah menarik daripada pihak penganjur," kata syarikat itu menerusi satu kenyataan selepas majlis pelancaran Tradex 2021 di sini, hari ini.

Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr. Halim Mohammad (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz (kiri) dan Pengerusi Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, Richard Teo (kanan) merasmikan Tradex Exponanza Of The World yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran MATRADE Kuala Lumpur.
Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr. Halim Mohammad (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz (kiri) dan Pengerusi Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, Richard Teo (kanan) merasmikan Tradex Exponanza Of The World yang diadakan di Pusat Konvensyen Pameran MATRADE Kuala Lumpur.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr Halim Mohamad.

Tradex 2021 diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur.

Ia juga menyediakan ruang menarik untuk pengunjung swafoto dengan latar belakang beberapa negara pelancongan terkenal seperti Korea, Jepun dan Thailand.

Selain itu, terdapat mini zoo yang memberi peluang kepada kanak-kanak melihat haiwan secara dekat, di samping aktiviti permainan bersesuaian untuk seisi keluarga.

Aktiviti lain untuk pengunjung termasuk persembahan artis tempatan seperti Man Kidal, Hael Husaini, dan Azlan Typewriter.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melawat laman sosial media rasmi Facebook Page Tradex 2021.

Berita Harian X