Jumaat, 6 November 2020 | 9:16pm
Belanjawan 2021 mengambil berat terhadap kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera -NSTP/Mahzir Mat Isa
Belanjawan 2021 mengambil berat terhadap kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera -NSTP/Mahzir Mat Isa

Dana RM230 juta bantu perkasa usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Peruntukan khas berjumlah RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bakal memberi banyak manfaat lebih ramai usahawan Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Izwan Zainuddin, berkata dengan peruntukan disalurkan kepada PUNB yang lebih tinggi berbanding tahun lalu itu bakal memperkasakan usahawan tempatan di tengah-tengah penularan COVID-19 yang belum berakhir.

"Ia adalah belanjawan yang mengambil berat terhadap kelangsungan perniagaan usahawan Bumiputera.

"PUNB ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan di atas peruntukan khas untuk terus memperkasa usahawan Bumiputera pada pengumuman Belanjawan 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Izwan berkata, peruntukan yang bakal diterima itu akan dimanfaatkan sebaiknya seperti visi PUNB iaitu menjadi pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan usahawan dan misi menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan melalui sokongan kewangan dan sokongan perniagaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belajawan 2021 di Parlimen mengumumkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion yang akan disediakan melalui TEKUN Nasional (TEKUN), PUNB, Agrobank, Bank Simpanan nasional (BSN) dan institusi kewangan lain.

Peruntukan itu termasuk tambahan sebanyak RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

Daripada peruntukan RM1.2 bilion, PUNB dijangka menerima RM230 juta untuk ditawarkan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi tujuan perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Berita Harian X