Jumaat, 11 September 2020 | 11:48am
SME Bank
SME Bank

SME Bank tanggung sewa RM3.45 juta bantu PKS

KUALA LUMPUR: Seramai 230 penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank tidak perlu membayar sewa bagi tempoh moratorium April hingga September 2020 apabila SME Bank mengambil langkah untuk menanggung bayaran sewa bagi tempoh berkenaan.

Selain itu, mereka juga akan diberi pengurangan bayaran sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan berikutnya, dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata inisiatif pengecualian bayaran sewa bagi tempoh April hingga September 2020 memberikan penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta kepada PKS.

Manakala, katanya bagi diskaun 50 peratus untuk bayaran sewa bagi tempoh enam bulan seterusnya akan memberikan penjimatan lebih RM1.15 juta kepada penyewa.

"Langkah SME Bank ini adalah seiring dengan pengumuman 29 inisiatif jangka pendek dan sederhana yang diambil oleh MEDAC bagi membantu lebih 20,000 usahawan PKS meningkatkan semula prestasi perniagaan mereka yang terjejas akibat COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, pula berkata bagi memudahkan proses, inisiatif ini akan dijalankan secara automatik dan penyewa tidak perlu membuat sebarang permohonan.

"Untuk penyewa yang terus membayar semasa tempoh moratorium ini, bayaran mereka akan dibawa ke hadapan," katanya.

Kompleks Premis Usahawan SME Bank adalah salah satu kemudahan menjangkaui pembiayaan yang disediakan khusus untuk usahawan PKS tempatan.

Kompleks yang terletak di 26 lokasi strategik seluruh negara ini menawarkan 454 buah lot kilang.

Lot kilang terbabit disewakan pada kadar yang berpatutan dan kompetitif.

Aria berkata, SME Bank sangat proaktif dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien kepada usahawan PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berita Harian X