X
Khamis, 21 Mei 2020 | 10:14pm
Menu di JM Bariani House - Foto FB JM Bariani House
Menu di JM Bariani House - Foto FB JM Bariani House

JM Bariani House sasar pendapatan meningkat RM100 juta

KUALA LUMPUR: SD Impex Sdn Bhd (SDI) mengunjurkan JM Bariani House mencatat pertumbuhan pendapatan RM100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDI, Nor Iskandar Naini Hanifah, berkata pertumbuhan itu akan disokong oleh pembukaan lebih banyak cawangan dengan sasaran lima cawangan baharu pada setiap tahun.

"SDI sedang mengkaji pelbagai lokasi dan sedang berbincang dengan beberapa operator termasuk pemilik bangunan dan pemegang francais yang berminat untuk bekerjasama mengembangkan JM Bariani House.

"Kami akan mengkhususkan makanan mengikut permintaan dan lokasi tempatan serta menawarkan harga dan pengalaman yang kompetitif," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, JM Bariani House yang menawarkan hidangan makanan asli khas Johor mempunyai sembilan cawangan restoran iaitu di Subang, Rawang, Wangsa Walk, Evo Mall Bangi, Tesco Puncak Alam, Tesco Setia Alam, USJ 9, Mydin Subang dan Tesco Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau berkata SDI turut memperkenalkan konsep imej baharu, namun masih mengekalkan keaslian makanan itu sejak setahun lalu.

Cawangan di Wangsa Walk di ibu negara adalah projek pertama yang diubah suai dengan imej baharu berkenaan dan beberapa menu baharu turut diperkenalkan.

SDI mengambil alih hak francais JM Bariani House dengan kos RM5.5 juta pada Januari 2019.

Ia terbabit dalam perniagaan industri makanan dan minuman, mempunyai pemilikan dan pengurusan perniagaan restoran, kedai serbaneka, bekalan dan pengeluaran ayam halal segar dan katering makanan.

-BERNAMA

Berita Harian X