Selasa, 31 March 2020 | 5:11pm
NOOR Syahida Irwani Maarof bersama suami, Hafizzul Zaini.
NOOR Syahida Irwani Maarof bersama suami, Hafizzul Zaini.

Pengalaman sendiri dijadikan inspirasi dalam perniagaan

KUALA LUMPUR: Bak kata pepatah, menggenggam bara api biar sampai menjadi arang. Begitu juga prinsip yang dipegang wanita berjiwa besar ini dalam membangunkan empayar perniagaannya sejak tiga tahun lalu.

Siapa sangka, sekitar tahun 2016, niat hanya mahu membantu meringankan beban komitmen bulanan suami dengan menjual pakaian terpakai dan alat permainan kanak-kanak menjadi titik perubahan kepada beliau dan keluarga.

Hampir setahun menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan permulaan modal sebanyak RM350 itu, Noor Syahida Irwani Maarof, 29, yang juga pengasas You Baby Enterprise diduga dengan masalah kesihatan anak-anaknya.

“Ketika itu, kami duduk di rumah yang agak sempit. Di situlah saya menyimpan stok pakai ‘bundle’ dan permainan. Di ruang bilik ketiga pula kami jadikan stor untuk membungkus dan mengasingkan tempahan pelanggan.

“Akibat terlalu fokus berniaga, saya tidak sangka anak-anak yang pada ketika itu masih kecik kerap jatuh sakit akibat menghidu habuk ‘bundle’ setiap hari.

“Bermulalah detik hitam kami apabila diduga dengan masalah kesihatan dua anak kami yang kerap masuk hospital akibat masalah pernafasan.

“Justeru saya mula tercari - cari produk bayi dan dari situ timbul idea untuk mengeluarkan produk penjagaan bayi yang multifungsi untuk masalah batuk, kahak, selsema dan juga masalah kulit selain mampu dijadikan sebagai kegunaan harian untuk anak saya menggantikan minyak telon, losyen dan bedak,” katanya kepada NadiBiz, baru-baru ini.

Pengasas produk penjagaan bayi natural itu berkata, beliau sentiasa berpegang pada prinsip bahawa bahan yang ada di negara ini cukup untuk dijadikan sebagai penawar semula jadi. 

"Herba dalam Malaysia sangat banyak dan tak habis diteroka, herba tempatan juga sangat terkenal dengan khasiat dan disifatkan antara yang terbaik di dunia. Jadi kenapa kita nak cari produk dari luar negara?. 

Berbanding pengeluar produk bayi lain, beliau berkata, kelainan yang ditonjolkan dalam produk Youbaby adalah dari penggunaan ekstrak daun gelenggang sebagai bahan utama selain lima bahan semula jadi yang lain.

“Hasil penyelidikan ini mengambil masa lebih kurang enam bulan dan diuji keberkesanan untuk mendapatkan kesan yang positif daripada pengguna.

Kami dapati gabungan bahan semula jadi ini mampu mengurangkan masalah batuk berkahak, selsema, ekzema, ruam, kulit sensitif dan beberapa masalah yang kerap berlaku dalam kalangan bayi. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat terutama golongan ibu bapa yang mempunyai anak bawah dua tahun untuk memilih dan menggunakan produk yang bebas bahan kimia berbahaya," katanya yang berasal dari Perak. 

Setahun selepas giat melebarkan sayap perniagaan, produk Youbaby yang terdiri daripada krim multifungsi dan gel mandian mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa.

Ia menyebabkan Noor Syahida Irwani tidak betah bergerak sendiri dan memaksa suaminya, Hafizzul Zaini yang pada ketika itu bertugas sebagai jurutera meninggalkan kerjayanya dan membantu beliau melancarkan operasi syarikat.

Kini, label Youbaby boleh tersenyum puas selepas setahun berada di pasaran, lebih 40,000 unit terjual malah kini mempunyai lebih 400 stokis dan ejen sah berdaftar di semenanjung Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Menyentuh kaedah pemasaran, Hafizzul Zaini berkata, syarikat yang berpusat dari Batu Pahat, Johor itu tidak bersaing dengan stokis mahupun ejen malah menyokong setiap ahli pasukan termasuk memberikan peluang kepada mereka untuk menyertai mana-mana ekspo perniagaan. 

"Kami ingin terus melangkah ke hadapan dan mensasarkan penjualan sebanyak 10,000 unit produk Youbaby sebulan dan merekrut 1,000 ejen sepanjang tahun ini,” katanya. Mengenai penerimaan produk itu di pentas antarabangsa, pasangan muda ini berkata, ketika ini label Youbaby sudah memasuki pasaran Brunei dan Singapura sejak setahun lalu dan kini dalam usaha meninjau pasaran Indonesia.

"Pasaran di sana sangat terbuka mengenai produk semula jadi malah produk kita turut mendapat pengiktirafan rakyat di sana," katanya.

Melangkah ke hadapan, Hafizzul berkata, syarikat kini dalam proses penyelidikan untuk mengeluarkan produk minyak urut bayi yang turut menggunakan ekstrak daun gelenggang sebagai bahan utama.

“Namun, apa yang istimewa mengenai produk terbaharu itu, ia tidak melekit dan cepat meresap pada kulit bayi,” katanya yang optimis produk baharu itu bakal menjengah pasaran pada separuh kedua tahun ini.

Berita Harian X