Ahad, 15 March 2020 | 3:35pm
RENDANG Ayam Maman, masakan tradisonal Negeri Sembilan siap dimakan adalah produk terbaharu Koras - Foto BERNAMA
RENDANG Ayam Maman, masakan tradisonal Negeri Sembilan siap dimakan adalah produk terbaharu Koras - Foto BERNAMA

Koras tinjau pasaran Singapura, Indonesia

SEREMBAN: Koperasi Keluarga Raja Samah Berhad (Koras) mula mengintai pasaran Singapura dan Indonesia sebagai pasaran baharu untuk produk sedia dimakan keluaran koperasi itu.

Pengerusinya, Raja Rusman Raja Samah, berkata beliau yakin produk terbaharu keluarannya, rendang ayam maman dapat diterima masyarakat luar susulan kejayaan koperasi itu menembusi pasaran Qatar pada awal tahun ini.

“Kami perlu mematuhi segala prosedur dan undang-undang negara pengimport. Itu sedang kami usahakan untuk mendapatkan kebenaran bagi produk kami memasuki pasaran Singapura dan Indonesia,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menyifatkan produk tradisional Negeri Sembilan itu berpotensi menjadi pilihan kepada pengguna, beliau berkata selain Qatar, produk itu turut mendapat permintaan yang memberangsangkan di Vietnam dan Taiwan.

Bagi pasaran tempatan, katanya setakat ini produk itu telah berada dalam pasaran di negeri seperti Kelantan, Johor, Perak, Labuan, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Produk ini sesuai untuk pengembara, mereka yang menunaikan haji atau umrah, melancong atau mereka yang menggemari aktiviti perkhemahan serta mereka yang bekerja di luar negara dan teringin untuk menikmati makanan tradisional.

“Itu kumpulan sasaran kita,” katanya, yang mempunyai pengalaman selama 35 tahun termasuk di bahagian import dan eksport barangan komoditi di Petronas.

Raja Rusman, 62, berkata permintaan untuk pasaran tempatan menggalakkan yang dapat menjual kira-kira 200 pek sebulan.

“Setakat ini, Koras dapat mengeluarkan kira-kira 1,300 hingga 3,000 pek untuk tempoh tiga bulan sekali dan ia bergantung kepada bahan mentah iaitu maman, yang bermusim.

“Bagi 1,300 pek, kita memerlukan 400 kilogram maman dan 3,000 pek, satu tan maman. Setakat ini, kita mendapat bekalan maman di Terachi, Kuala Pilah dan Gemencheh, Tampin,” katanya.

Raja Rusman berkata, produk itu dihasilkan menggunakan teknologi retort yang membolehkannya untuk mengekalkan rasa dan mampu bertahan sehingga dua tahun.

Selain rendang ayam maman, katanya Koras turut mengeluarkan produk sambal ikan bilis dan bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk pengeluaran produk nasi beriani ayam dan nasi beriani kambing, yang dilabelkan di bawah koperasi itu.

“Pada masa depan, kita akan mempelbagaikan lagi produk lain untuk pilihan pengguna termasuk set lengkap makanan merangkumi nasi putih dan dipadankan dengan rendang ayam maman, nasi goreng dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X