Ahad, 5 Januari 2020 | 5:37pm

'Permintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi'

RAUB: Demi minat dan impian untuk berjaya dalam bidang penternakan arnab pedaging, seorang pemuda sanggup melepaskan jawatannya sebagai penjawat awam yang terjamin pendapatan setiap bulan.

Selepas lima tahun mencurahkan sepenuh komitmen menjadi usahawan muda, Muhamad Rizal Adha, 26, mampu berbangga dengan pencapaian diri dalam bidang diterokainya itu.

Bermula dengan hanya memiliki beberapa arnab hiasan, beliau yang menetap di Kampung Tok Machang, Ulu Gali, di sini, kini menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White.

Muhamad Rizal menjelaskan, menternak arnab pedaging adalah mudah dan tidak memerlukan modal serta perbelanjaan makanan yang terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik dan kambing.

“Malah, keuntungan hasil jualan daging segar adalah memuaskan. Ketika ini, boleh dikatakan permintaan daging arnab segar begitu menggalakkan tetapi setiap bulan, saya hanya mampu membekalkan antara 200 hingga 250 kilogram.

“Walaupun dijual pada harga RM35 sekilogram, pasaran daging arnab sentiasa mendapat permintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan beliau, di sini.

Muhamad Rizal yang pernah bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia dan juga bekas atlet silat olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) memaklumkan, kos makanan ternakan bagi seekor arnab pedaging ialah antara RM13 hingga RM19 apabila mencapai usia matang untuk disembelih.

Katanya, hanya arnab pedaging yang mencapai berat dua kilogram ke atas akan disembelih dan semua proses dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja.

Beliau yang memiliki Diploma Ukur Bahan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, berkata arnab mampu melahirkan anak antara tujuh hingga lapan kali setahun dengan setiap kali membabitkan enam hingga 12 anak.

“Saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan daging arnab secara terus dan dalam talian. Ada lebih 15 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan setiap bulan.

“Selain untuk menghasilkan sate dan beberapa jenis hidangan lain, daging arnab juga dijadikan makanan kucing baka import oleh pemilik haiwan berkenaan.

“Saya yakin industri penternakan arnab pedaging ada masa depan begitu cerah,” katanya yang turut membekalkan sangkar arnab diimport dari China.

Selain menternak arnab pedaging, bapa kepada empat cahaya mata itu berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan sebagai pemborong getah beku di daerah ini.

Muhamad Rizal kini menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Muhamad Rizal kini menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X