Rabu, 1 Januari 2020 | 5:55pm
WAN ZAINI dan barisan pengurusan Imtiyaz Consultancy serta guru besar SK Setiawangsa meraikan sumbangan barangan keperluan persekolahan bersama 30 penerimanya di Wangsa Melawati, semalam. Foto NSTP
WAN ZAINI dan barisan pengurusan Imtiyaz Consultancy serta guru besar SK Setiawangsa meraikan sumbangan barangan keperluan persekolahan bersama 30 penerimanya di Wangsa Melawati, semalam. Foto NSTP

Imtiyaz kongsi kejayaan dengan murid miskin

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perunding, Imtiyaz Sdn Bhd (Imtiyaz), berkongsi kejayaannya sebagai agensi pemasaran insurans terulung dengan menyalurkan sumbangan persekolahan kepada 30 murid Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (SKS), di sini.

Pengarah Urusannya, Wan Zaini Wan Hassan, berkata sebagai tanda kesyukuran bergelar agensi pemasaran takaful AIA nombor satu kali keempat berturut-turut sejak 2016, pihaknya terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Kami berasa sudah sampai masanya untuk berkongsi pencapaian kami pada hari ini atau memberinya balik kepada masyarakat.

“Inilah kali pertama Imtiyaz menganjurkannya yang mungkin dijadikan sebagai acara tahunan.

“Saya anggap ini satu permulaan yang baik sebelum kami mencuba pula membantu projek pembinaan sebuah surau baharu di Sekolah Menengah Wangsa Melawati yang berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga bapa kepada dua anak, mengakui terasa beban kewangan ini setiap kali tibanya musim baharu persekolahan.

“Memang akan kena sediakan dua pasang setiap orang seperti baju, sekolah dan kasut. Belanjanya pula biasanya akan mencecah RM1,000 termasuk buku-buku dan yuran,” katanya.

Sementara itu, Wan Zaini berkata beliau kerap menekankan profesionalisme dan latihan serta seminar antara kunci utama kejayaan Imtiyaz sebagai peneraju pemasaran takaful AIA di negara ini.

“Imtiyaz menekankan profesionalisme yang tinggi dengan kerap menganjurkan latihan dan seminar serta bimbingan buat ejen perunding dan pengurus kami.

“Justeru, ejen perunding kami mampu menembusi pasaran yang lebih tinggi daripada biasa walaupun perlu bersaing dengan lebih kurang 1,500 agensi pemasaran di negara ini,” katanya.

Syarikat yang diasaskan pada 2011 ini memperoleh hasil jualan produk takaful AIA sebanyak RM26 juta pada tahun lalu ekoran pertumbuhan tahunan sekitar 30 peratus.

Selain peningkatan pemasaran, Imtiyaz berjaya menambah bilangan ‘agensi sejuta RM’ (million RM agency) kepada lapan pengurus iaitu bagi jualan berkumpulan.

Syarikat itu turut meningkatkan pengurus agensi meja bulat sejuta RM (million RM round table agency) iaitu jualan peribadi RM418,000 daripada hanya tiga orang pada 2018 kepada 12 orang tahun lalu.

Produk takaful yang dipasarkan Imtiyaz seperti pendidikan kanak-kanak, simpanan dan hibah.

Kini Imtiyaz menyasarkan angka jualan produk takaful AIA kepada RM30 juta pula pada tahun baharu 2020.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X