Isnin, 23 Disember 2019 | 1:22pm
Pengarah Urusan Juara Agarwood, Muhammad Hafiz Talib (tiga dari kanan) ketika memperkenalkan dapur moden minyak gaharu di Cyberjaya, baru-baru ini.
Pengarah Urusan Juara Agarwood, Muhammad Hafiz Talib (tiga dari kanan) ketika memperkenalkan dapur moden minyak gaharu di Cyberjaya, baru-baru ini.

Dapur moden tingkat hasil minyak gaharu

KUALA LUMPUR: Juara Agarwood Resources Sdn Bhd, pengeluar produk berasaskan tanaman gaharu memperkenalkan dapur moden menerusi teknologi dan inovasi dapur teknologi digital.

Dikenali sebagai ‘Smart Automatic Distillation System’, ia dibangunkan hasil daripada masalah yang dihadapi oleh peserta industri gaharu yang terbabit dalam pemprosesan minyak gaharu secara tradisional.

Pengarah Urusannya, Muhammad Hafiz Talib, berkata sebagai syarikat yang terbabit mengusahakan produk berasaskan gaharu, pihaknya sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti industri.

“Ini kerana proses memasak minyak gaharu secara tradisional membabitkan satu proses yang sukar dalam tempoh masa yang lama, penggunaan gas memasak yang banyak dengan kos yang tinggi selain pemantauan tanpa henti selama 24 jam untuk empat hari oleh tenaga kerja.

“Sudah pasti proses memasak di kawasan dapur yang panas itu akan memiliki kekurangannya iaitu daripada aspek suhu yang tidak terkawal, tidak bersih selain berpotensi berlaku pencemaran karbon.

“Namun teknologi ini dapat menjimatkan masa dan kos pengusaha berbanding sebelum ini yang menggunakan gas dan pekerja bagi memantau sepanjang proses empat hari memasak kayu gaharu,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Hafiz berkata, kejayaan Juara Agarwood yang juga anak syarikat One Diversity Sdn Bhd, mengeluarkan ciptaan terkini selari dengan inisiatif Revolusi Perindustian 4.0 yang ditekankan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pengusaha kini boleh mengusahakan pati minyak dan produk kesihatan air hidrosol bermutu tinggi secara sendiri melalui sumber elektrik kawalan jauh menggunakan telefon mudah alih.

Katanya, dapur gaharu teknologi digital itu dihasilkan dalam jangka masa setahun mnerusi kajian dan pengalaman syarikatnya sepanjang mengusahakan produk berkenaan lebih lima tahun lalu.

“Dapur gaharu teknologi digital ini mampu memasak 2.5 kilogram (kg) kayu gaharu menggunakan sistem elektronik melalui bantuan wifi dan boleh diakses melalui telefon mudah alih di serata dunia.

“Penggunaan dapur digital itu juga dapat menjimatkan kos berbanding sebelum ini menggunakan empat tong gas sepanjang empat hari proses memasak.

“Melalui sistem itu, ia juga membolehkan pengguna mengawal suhu, penambahan air dan mengawal kawasan sekitar melalui kamera litar yang dipasang pada dapur,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, dapur digital itu mampu menghasilkan dua hingga lima militer (ml) minyak dan 1.8 liter air hidrosol yang bernilai tinggi.

Katanya, pada masa ini syarikat sudah memasarkan lebih 20 unit dapur digital berkenaan termasuk menerima tempahan dari Vietnam dan Indonesia yang juga antara negara pengeluar tanaman gaharu.

"Kos bagi setiap unit dapur itu berharga RM5,000 bagi 2.5kg dan RM50,000 bagi 25kg yang mampu disiapkan dalam jangka masa dua minggu selepas membuat tempahan.

"Produk Bumiputera ini menggunakan teknologi tempatan sepenuhnya dan menjelang tahun depan syarikat menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50 juta termasuk dalam dan luar negara," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X