Isnin, 29 Julai 2019 | 10:11pm
SYED Salahuddin (dua dari kiri) bersama kakitangannya melihat proses penghasilan produknya di kilang Al Haddad Group di Sungai Petani, Kedah.

Arrayyan hasrat kuasai pasaran produk halal

KUALA LUMPUR: Al Haddad Group menerusi anak syarikatnya, Arrayyan Multitrade Sdn Bhd (Arrayyan) menyasarkan untuk memperkenalkan 10 produk baharu secara berperingkat menjelang 2020 bagi mengukuhkan kedudukannya dalam segmen produk halal.

Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mohd Mahayadin, berkata Arrayyan optimis produk baharu berkenaan akan memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan produk Muslim halal sekali gus memacu peningkatan jualan rangkaian produk Arrayyan.

“Pada peringkat permulaan, syarikat akan melancarkan dua produk baharu iaitu minuman ice cool lemon tea dan air mineral semula jadi pada Ogos tahun ini,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Syed Salahuddin berkata, penubuhan Arrayyan bertujuan memasarkan pelbagai produk keperluan Muslim yang berkualiti tinggi, halal dan sihat serta mampu memenuhi keperluan pengguna setiap hari.

“Selain memasarkan produk dari kilang sendiri, Arrayyan juga akan bekerjasama dengan pengeluar Bumiputera untuk memasarkan produk lain daripada segmen makanan dan minuman, penjagaan diri, keperluan rumah dan juga barangan basah,” katanya.


PENGARAH Urusan Arrayyan Multitrade Sdn Bhd, Syed Salahuddin Syed Mohd Mahayadin.

Katanya, kerjasama itu akan menjadi platform syarikat untuk memasarkan produk Muslim halal di seluruh pasar raya besar di seluruh negara, pasaran runcit dan eksport.

“Ia turut akan membekalkan barangan untuk ditawarkan di Al Haddad Mart, rangkaian pasar raya mini milik Al Haddad Group,” katanya.

Syed Salahuddin berkata, syarikat bercadang untuk membuka Al Haddad Mart di seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Cawangan pertama pasar raya mini akan dibuka di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam masa terdekat. Rangkaian berkenaan akan diuruskan oleh syarikat kami manakala cawangan di negeri lain akan ditawarkan kepada pengedar yang berminat, berkelayakan dan berpengalaman.

“Kami sedang berbincang dengan pengedar berpotensi untuk menawarkan pakej perniagaan bagi mengusahakan Al Haddad Mart di seluruh negara. Modal yang diperlukan ialah kira-kira RM300,000 bergantung kepada lokasi, saiz cawangan dan kos lain,” katanya.

Produk keluaran Al Haddad boleh diperoleh daripada 500,000 pengedar dan 500 stokis di seluruh negara.

Berita Harian X