Khamis, 9 Mei 2019 | 9:02pm
Intan Ilyani bersama model menunjukkan tujuh produk penjagaan kulit baharu di bawah siri True Bold pada majlis pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Azhar Ramli

Langkah berani pengasas Face & Co

“TIADA apa yang mudah dalam dunia ini, jika mahukan sesuatu, beranikan diri dan cabar kemampuan diri”.

Itu adalah prinsip hidup yang menjadi azimat Intan Ilyani Ghazali dalam meneroka potensi dirinya.

Wanita berusia 40 tahun itu mengambil langkah berani dengan mengasaskan produk penjagaan kulitnya sendiri, dikenali sebagai Face & Co.

Dengan menggunakan cogan kata Be Bold, ia mencerminkan komitmen jenama Face & Co dalam mengiktiraf keberanian menjadi jenama yang unik dalam rangkaian jenama penjagaan kulit.

Ketika bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia perniagaan, Intan Ilyani berkata, beliau mengasaskan jenama Face & Co pada April 2017.

“Produk pertama yang kami lancarkan pada 2017 adalah bedak asas cushion, seterusnya disusuli produk jualan terbaik kami, iaitu bedak asas dalam bentuk cecair, dikenali sebagai True Foundation.

“Bedak asas itu didatangkan dalam dua tona warna, iaitu Pure dan Glow dan ia dilancarkan pada awal tahun lalu.

“Pada tahun ini, kami membuat keputusan untuk mengeluarkan lebih banyak rangkaian produk, justeru saya memilih untuk memperkenalkan tujuh produk baharu di bawah jenama Face & Co,” katanya.

Mengulas lanjut, Intan Ilyani berkata, ramai pihak bertanyakan mengenai pendiriannya untuk tidak mengeluarkan produk baharu dalam segmen kosmetik sebaliknya memilih segmen penjagaan kulit.

“Saya mahu seseorang itu selesa dengan kulit mereka, jadi kita kena kembali ke asal. Apa-apapun, kulit perlu dirawat terlebih dulu. Jika kulit tidak dirawat dan hanya bergantung kepada kosmetik, tidak boleh juga,” katanya.

Jenama tempatan

Intan Ilyani yang juga seorang perunding imej jenama bertauliah juga mempunyai misi tersendiri apabila membuat keputusan untuk memperkenalkan jenama Face & Co ke dalam pasaran.


Hasil produk kecantikan jenama tempatan setanding kualiti, standard antarabangsa. - NSTP/Azhar Ramli

“Saya mahu mengeluarkan produk kecantikan jenama tempatan yang mempunyai kualiti dan standard antarabangsa, namun masih boleh dijual dalam harga yang mampu dimiliki.

“Saya membuat beberapa perbandingan produk pengilang peralatan asli (OEM) di negara ini, tetapi tiada yang memenuhi kriteria yang saya mahukan.

“Justeru, saya memilih untuk menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Singapura, tetapi masih mengekalkan formulasi yang saya cipta.

“Selain itu, rangkaian produk ini juga disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana hinggalah kepada mereka yang berpendapatan tinggi,” katanya pada sesi temu bual selepas pelancaran tujuh produk penjagaan kulit baharu di bawah siri True Bold di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tujuh produk baharu yang dilancarkan adalah pencuci solekan (True Remover); pencuci muka (True Cleanser); serum untuk kawalan minyak dan jerawat, serum untuk pencerahan dan serum untuk penegangan dan keremajaan; krim bawah mata (True Eye) dan juga krim pelindung matahari (True BB Screen).

Harga jualan bagi siri True Bold bermula daripada RM79 hingga RM129 dan semua produk berkenaan dikeluarkan di Singapura.

Intan berkata, produk berkenaan juga bebas ujian terhadap binatang dan ia sesuai digunakan untuk semua jenis kulit.

Sasar jual 70,000 unit

“Saya mahukan produk yang lebih berasaskan air dan tidak mengandungi terlalu banyak bahan kimia. Selain itu, ia juga diformulasikan dengan ekstrak botani seperti buah-buah sitrus dan sebagainya,” katanya.

Pada masa ini, semua rangkaian produk Face & Co boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.thefaceandco.com.

Intan Ilyani berkata, menjelang suku ketiga tahun ini, pihaknya akan mengedarkan produknya ke Brunei dan Tianjin, China.

“Kami menyasar untuk menjual 70,000 unit bagi setiap jenis produk dalam siri True Bold pada tahun ini.

“Selain itu, kami juga merancang untuk membuka cawangan fizikal pertama Face & Co pada suku keempat. Ia mungkin dibuka di kawasan Lembah Klang dan kami masih dalam proses mengenalpasti lokasi yang berpotensi.

“Dengan adanya cawangan fizikal itu, kami boleh meningkatkan capaian kepada lebih ramai pengguna untuk jenama kami.

“Selain itu, kami juga mempunyai perancangan untuk mengeluarkan produk makanan tambahan kesihatan premium bagi menyeimbangkan kecantikan dalaman dan luaran pengguna kami,” katanya.


Intan Ilyani mengasaskan produk penjagaan kulitnya sendiri, dikenali sebagai Face & Co. - NSTP/Azhar Ramli

Info Intan Ilyani Ghazali

Umur: 40 tahun

Jawatan: Pengasas Face & Co

Pengalaman: Bertugas sebagai Pembantu Peribadi di Maybank Group selama 15 tahun dan juga seorang Perunding Imej Jenama yang bertauliah

Berita Harian X