Ahad, 15 Oktober 2017 | 9:23pm
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Richsmart Event and Services, Ahmad Shauqi Abdul Wahab menunjukkan minyak wangi Rises Perfume keluaran syarikatnya. - Foto Owee Ah Chun

Minyak wangi tempatan ke pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pada mulanya mengumpul minyak wangi hanya sekadar hobi berikutan minatnya dalam bauan sebegini selain ingin mencuba pelbagai jenis wangian yang ada di pasaran.

Tidak pernah terlintas di fikiran Ahmad Shauqi Abd Wahab, 38, untuk menjadikan hobi itu sebagai perniagaan sehingga tercetus idea mencuba perniagaan berasaskan minyak wangi yang lebih selamat dan paling penting, keluaran anak tempatan.

Niat utamanya untuk berkongsi wangian pada harga mampu milik selain mendidik pengguna agar menggunakan minyak wangi yang diperakui halal dan selamat untuk kulit.

"Idea untuk mengusahakan minyak wangi tercetus daripada pengalaman sendiri, yang sering mencari minyak wangi untuk kegunaan sendiri.

"Ketika mencari idea untuk perniagaan baharu bagi tahun 2017 dan 2018, teringat pesanan guru saya yang menyatakan jika mahu perniagaan itu berjaya dan seronok menjalankannya, pilihlah perniagaan yang kita suka.

"Sebab itu, saya tekad dan kumpulkan dana sebelum menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D). Hampir setahun saya buat kertas kerja dan R&D sebelum mulakan perniagaan minyak wangi ini," katanya.

Dikenali sebagai Rises Perfume, Shauqi memulakan langkah pada Januari 2017 sebelum melancarkan minyak wanginya ini secara rasmi pada Mei untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

Malah, jenama minyak wanginya ini secara tidak langsung mula dikenali ramai selepas pelantikan penyanyi Khai Bahar sebagai duta dan jurucakap Rises Perfume.


Minyak wangi Rises Perfume. - Foto Owee Ah Chun

"Saya tak sangka dalam masa beberapa bulan jenama ini dikenali ramai dan semakin banyak permintaan sehingga kami terpaksa mencari rakan niaga untuk pasaran tempatan dan Indonesia.

"Jualan di Indonesia juga meningkat terutama di Jakarta, Bandung dan Surabaya. Bayangkan ketika awal dulu pekerja hanya beberapa orang termasuk saya dan rakan kongsi, memang `tak menang tangan' kami dibuatnya.

"Siang malam bekerja dan semua proses kami buat sendiri. Penat itu memang tak boleh cakap, tetapi adat dalam perniagaan bersusah dulu sebelum mengecap kejayaan," katanya.

Rises Perfume juga kata Shauqi mula mendapat permintaan dari Brunei, Singapura, Taiwan dan Hong Kong, satu peluang perkembangan perniagaan yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

Katanya, permintaan dari luar negara meningkat sehingga 200 peratus sejak awal tahun ini.

Ketika ini, hanya dua wangian yang menggunakan bahan khas dan hampir 90 wangian lain adalah wangian inspirasi daripada jenama wangian sedia ada.

"Untuk fasa kedua bermula Oktober, kami dalam perancangan untuk mengeluarkan 10 jenis bauan sendiri selain reka bentuk pembungkusan yang lebih baharu tetapi masih kekalkan harga mampu milik.

"Syarikat kami juga sudah bekerjasama dengan kilang pemprosesan minyak wangi tempatan untuk pengeluaran. Sasaran jualan tahunan Rises Perfume adalah sebanyak RM3.5 juta dan kami jangka dapat mencapainya," katanya.

Mengorak langkah ke hadapan, Shauqi berkata pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan seorang pelakon terkenal antarabangsa untuk menjadi duta atau jurucakap jenama minyak wanginya itu.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Richsmart Event and Services, Ahmad Shauqi Abdul Wahab menunjukkan minyak wangi Rises Perfume keluaran syarikatnya. - Foto Owee Ah Chun

INFO

  • Shauqi mula memperkenalkan Rises Perfume, pada Mei 2017, untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.
  • Dikenali ramai selepas pelantikan penyanyi Khai Bahar sebagai duta dan jurucakap Rises Perfume.
  • Jualan di Indonesia meningkat, terutama di Jakarta, Bandung dan Surabaya.
  • Mula mendapat permintaan dari Brunei, Singapura, Taiwan dan Hong Kong.
Berita Harian X