Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:10pm
MENTERI Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tiga dari kiri) bersama Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahaya (tiga dari kanan) menyaksikan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Datuk Harun Ismail (dua dari kanan) bertukar dokumen persefahaman antara SIRIM Tech Venture Sdn Bhd dengan Sabah Energy Corporation sempena majlis Penghargaan Program SIRIM-Fraunhofer dan Upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil. - Foto Zulfadhli Zulkilfi

SIRIM-Fraunhofer sedia dana RM20j bantu PKS

KUALA LUMPUR: Sirim Bhd (SIRIM) menyediakan dana RM20 juta pada tahun ini, bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, menangani masalah teknologi serta inovasi yang mengekang produktiviti. 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani, berkata dana berkenaan diagihkan kepada 150 syarikat PKS menerusi Program SIRIM-Fraunhofer, iaitu program yang memberi penekanan mengenal pasti masalah dialami PKS melalui audit teknologi. 

"Program berkenaan diperkenalkan pada 2015 dan sehingga kini 472 syarikat PKS sudah menjalani audit teknologi dan daripada jumlah itu, 337 syarikat menjalani pelbagai tahap pelaksanaan bantuan projek. 

"Pemberian dana itu membabitkan 80 peratus daripada SIRIM dan bakinya dibiayai oleh syarikat itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas majlis penghargaan Program SIRIM-Fraunhofer dan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini. 

Majlis yang diadakan bersempena penganjuran Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017 itu dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madus Tangau. 

Ahmad Fadzil berkata, menerusi Program SIRIM-Fraunhofer, antara penyelesaian bantuan teknologi dan inovasi yang dilaksanakan termasuk peningkatan tahap mekanisasi dan automasi; adaptasi teknologi baharu dalam pembangunan produk dan proses termasuk pengujian prototaip dan peningkatan proses pengeluaran serta pembangunan daya saing dalam pengurusan teknologi dan inovasi. 

"Setakat ini, prestasi yang ditunjukkan syarikat terbabit sangat positif dan penyertaan program juga memberangsangkan. 

"Kami menyasarkan peningkatan jumlah syarikat pada masa depan dan berusaha untuk mempelbagaikan sektor terutama  yang berkaitan dengan teknologi," katanya. 

Setakat ini, katanya penyertaan syarikat PKS dalam program berkenaan adalah daripada sektor makanan dan minuman (F&B) iaitu merangkumi kira-kira 50 hingga 60 peratus penyertaan. 

Terdahulu, SIRIM memeterai tujuh MoU yang membabitkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta bagi membolehkan kerjasama dalam bidang teknologi serta pengkomersialan. 

Pada majlis sama, seramai 12 usahawan PKS juga diberi penghargaan atas pembabitan mereka dalam Program SIRIM-Fraunhofer yang terdiri daripada usaha pelbagai industri seperti elektrik dan elektronik; bahan pembungkusan; pemesinan dan kejuruteraan; bioteknologi serta pelabelan.

Berita Harian X