Ahad, 10 September 2017 | 10:24pm
ZAN Mirani mula menceburi perniagaan menjual barang kemas pada 2010 hasil dorongan rakan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ZAN Mirani mula menceburi perniagaan menjual barang kemas pada 2010 hasil dorongan rakan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Pegawai penyelidik jadi penjual emas

MINAT yang tinggi terhadap bidang perniagaan mendorong Zan Mirani Tajuddin, pemilik kedai menjual barang kemas, Tajj Gold meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai penyelidik di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.

Beliau didedahkan dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi dengan mengikuti ayahnya berniaga. Mula aktif berniaga sendiri secara dalam talian pada sekitar 2009 dengan menjual baju, biskut raya, sebelum beralih menjual emas fizikal dan barang kemas.

Mengimbas kembali pembabitannya dalam menjual emas fizikal dan barang kemas, Zan Mirani, 39, berkata beliau mula menceburi perniagaan menjual logam berharga itu pada 2010 hasil cadangan kawannya.

Dengan dana yang diperoleh daripada Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM70,000 membolehkannya menjual emas fizikal pada ketika itu yang sangat popular dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Kawan saya mencadangkan untuk menjual emas fizikal. Dia yang memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai selok-belok untuk mendapatkan bekalan dan menjual emas itu.

ZAN Mirani mula menjual barang kemas secara dalam talian ketika masih lagi berkhidmat sebagai pegawai penyelidik. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ZAN Mirani mula menjual barang kemas secara dalam talian ketika masih lagi berkhidmat sebagai pegawai penyelidik. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Pada masa sama, saya juga menjalankan kajian sendiri menerusi internet dan pembacaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perniagaan emas ini," katanya kepada BH ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Zan Mirani berkata, ketika mula menjual emas fizikal itu secara dalam talian, beliau masih lagi berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Universiti Malaya.

Namun, selepas mendapati pendapatan yang diperoleh daripada penjualan emas fizikal itu melebihi gaji yang diperoleh mendorong beliau untuk melepaskan jawatan yang mana pekerjaan itu juga adalah minatnya.

Beliau nekad dengan keputusannya itu dan mula menguruskan perniagaan menjual emas secara sepenuh masa.

Selepas perniagaan dilihat berkembang maju, Zan Mirani mendapatkan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berjumlah RM100,000 untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

ZAN Mirani (kanan) melayan pelanggannya di Kedai Emas Tajj Gold, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
ZAN Mirani (kanan) melayan pelanggannya di Kedai Emas Tajj Gold, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Alhamdulillah dengan dana yang diperoleh membolehkan saya mengembangkan perniagaan dengan mula berjinak-jinak menjual barang kemas.

"Pada 2013, saya membuka kedai menjual barang kemas Tajj Gold di Shah Alam," katanya.

Zan Mirani berkata, dengan membuka kedai menjual barang kemas itu juga menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap perniagaannya.

Beliau berkata, dari segi pelanggan beliau tidak menghadapi masalah kerana sudah mempunyai pelanggan tetap secara dalam talian yang mengunjungi kedainya untuk membeli dan mengambil barang kemas yang sudah dipesan.

"Perniagaan secara dalam talian banyak membantu dalam menarik pelanggan. Mereka boleh mengunjungi kedai untuk mengambil barang yang dipesan," katanya.

Menyentuh mengenai saat mencabar dalam menjalankan perniagaan, Zan Mirani berkata, menjual emas mempunyai persaingan yang sengit dari segi harga.

KAKITANGAN Tajj Gold melayan pelanggan di Kedai Emas Tajj Gold, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KAKITANGAN Tajj Gold melayan pelanggan di Kedai Emas Tajj Gold, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Peniaga perlu bijak dalam menetapkan harga bagi membolehkan perniagaan yang dijalankan mapan dan mampu bertahan dalam persekitaran persaingan harga yang sengit.

"Apabila berniaga dengan membuka kedai fizikal, saya berdepan cabaran dari segi harga yang mana perlu bersaing dengan harga emas yang dijual secara dalam talian yang lebih murah.

"Pendekatan yang saya gunakan ialah tidak menaikkan atau menurunkan harga sesuka hati, sebaliknya menjual pada paras harga yang munasabah dan pelanggan menerimanya," katanya.

Melangkah ke hadapan, Zan Mirani mahu membawa perniagaan barang kemasnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau bercita-cita mahu mengembangkan perniagaannya setaraf dengan jenama barang kemas terkemuka lain di negara ini.

"Kini saya sudah mempunyai dua cawangan menjual barang kemas. Saya juga dalam proses untuk membuka kedai menjual barang kemas di Johor," katanya.

Bagi mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, Zan Mirani menasihatkan perlu sentiasa jujur dan melayan pelanggan dengan sebaiknya.

Modal dan ilmu juga penting untuk menjadi usahawan yang berjaya, katanya.

BIODATA

Nama: Zan Mirani Tajuddin

Jawatan: Pengarah Urusan Empayaraz Venture Sdn Bhd

Asal: Taiping, Perak

Pendidikan: Ijazah Ekologi dan Biodiversiti, UM

Berita Harian X