Khamis, 7 September 2017 | 8:43pm
NATALIE Lo bersama produk sabun muka, sabun badan, lulur dan pelembap bibir yang dihasilkannya. - Foto Rafiqah Dahali
PRODUK utama di bawah jenama Native Body & Skin ialah sabun muka dan badan dijual pada harga RM24 untuk setiap buku. - Foto Rafiqah Dahali

Dulu pembantu ladang itik, kini usahawan kosmetik

KOTA KINABALU: Menyedari permintaan terhadap produk kecantikan semakin meningkat khususnya dijamin selamat dan tiada kesan sampingan, mendorong seorang usahawan muda wanita dari Kota Kinabalu menghasilkan produk penjagaan kulit diperbuat daripada bahan semula jadi.

Lebih menarik, Natalie Lo, 25, pengusaha produk penjagaan kulit di bawah jenama Native Body & Skin, menggunakan bahan semula jadi yang mudah terkenal serta didapati di Sabah seperti madu tualang liar, rumpai laut Semporna dan kopi Tenom.

Wanita berasal dari Kota Kinabalu itu turut menghasilkan produk daripada halia dan kunyit yang ditanamnya sendiri secara tradisional.

Produk utama di bawah jenama Native Body & Skin ialah sabun muka dan badan dijual pada harga RM24 untuk setiap buku dengan tiga pilihan sabun muka iaitu madu tualang liar dan oat, sabun kopi Tenom dan pudina serta sabun halia, selain sabun badan daripada serai.

Lo juga menjual sabun jenis 'bath bomb' dalam tiga jenis pilihan iaitu Coconut Rose bath bomb, Calendula Orange bath bomb dan Lemongrass Salt bath bomb yang dijual pada harga RM12 hingga RM16.


ANTARA produk utama yang dihasilkan di bawah jenama Native Body & Skin. - Foto Rafiqah Dahali

Lo berkata, setiap bulan beliau menghasilkan kira-kira 200 sabun, selain mengusahakan produk lulur dan pelembap bibir yang menggunakan 100 peratus bahan semula jadi dengan penghasilan produk sehingga pembungkusan semuanya dilakukan sendiri di mini studio di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia percaya bahan semulajadi dan herba mempunyai banyak khasiat, terutama dari segi kesihatan dan kecantikan.

"Nenek moyang kita kaya dengan pelbagai petua kecantikan dan kesihatan yang boleh diamalkan secara tradisional dengan menggunakan bahan semula jadi. Malangnya ia semakin dilupakan dan kebanyakan generasi muda kini cenderung memilih produk penjagaan kulit dan kosmetik yang mempunyai bahan kimia.

"Ini kerana produk berasaskan bahan kimia mempunyai kesan lebih cepat berbanding bahan semulajadi. Tetapi, bukan semua produk berasaskan bahan kimia ini selamat digunakan, justeru saya mengambil inisiatif menghasilkan produk menggunakan bahan semulajadi yang banyak terdapat di Sabah," katanya.

Lo berkata, minat dalam penghasilan produk penjagaan kulit dan kecantikan mula timbul ketika beliau mengikuti kursus membuat sabun beberapa tahun lalu. 

"Bermula dari situ, minat mula timbul untuk mengusahakan produk sabun menggunakan bahan semulajadi. Seterusnya saya membuat kajian dan banyak membaca artikel mengenai bahan semula jadi yang dapat digunakan untuk penghasilan sesuatu produk.

"Selain itu, saya melakukan banyak uji kaji dan mencipta formula sendiri untuk menghasilkan produk. Selain itu, saya mengambil kira pendapat pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi mutu produk," katanya yang mula mengusahakan produk penjagaan kulit dan kecantikan sejak Oktober tahun lalu.


TIGA pilihan sabun muka iaitu madu tualang liar dan oat, sabun kopi Tenom dan pudina serta sabun halia, selain sabun badan daripada serai. - Foto Rafiqah Dahali

Sebelum mengusahakan produk Native Body & Skin, Lo berkata, dia membantu keluarga mengusahakan ladang itik di Kota Kinabalu, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengusahakan perniagaan secara sepenuh masa.

"Saya memasarkan produk ini secara dalam talian, namun turut menjual ketika acara dan majlis tertentu selain di kedai serta farmasi sekitar Kota Kinabalu," kata graduan sebuah universiti swasta di Hong Kong dalam bidang pemasaran dan pengurusan itu.

Bercerita mengenai perancangan masa depannya, Lo berkata, dia merancang untuk mempelbagaikan lagi produk penjagaan kulit dan kecantikan, selain berhasrat meluaskan pasaran dengan memasarkan produknya ke Singapura.

"Saya telah berhubung dengan beberapa premis di Singapura yang menjual produk penjagaan kulit dan kosmetik bagi mencari peluang memasarkan produk di sana. Pada masa sama, saya sedang mencari stokis yang boleh menjual produk Native Body & Skin," katanya.

Dia juga memberitahu, produk dihasilkannya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan dan ia menguatkan lagi semangatnya untuk terus mempelbagai produk pada masa akan datang.

INFO
NATIVE BODY & SKIN:

Laman website: https://www.nativebodyskin.com/about 

Laman Facebook: https://www.facebook.com/nativebodyandskin/

Berita Harian X