Ahad, 27 Ogos 2017 | 10:34pm

Lulusan tahfiz usahawan berjaya

Peribahasa mengatakan, 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya', sesuai bagi menggambarkan kesungguhan empat beradik menjadikan Best Farm, sebagai syarikat pembekal haiwan untuk ibadah korban serta aqiqah yang disegani.

Pengarah Urusannya, Mohd Sallehuddin Muhammad Razali, 32, berkata semuanya bermula apabila beliau bersama adiknya terpanggil untuk menyediakan lembu dan kambing kepada umat Islam yang berhasrat menunaikan ibadat berkenaan.

"Best Farm bermula sejak 1980-an lagi, apabila arwah ayah, Muhammad Razali Abdullah dan ibu, Zainab Abdul Ghaffoor mengorek beberapa kolam ikan di sebidang tanah di Sungai Kertas, Gombak. Pada masa yang sama menternak kambing dan lembu secara kecil-kecilan.

"Apabila arwah meninggal dunia, pengurusan Best Farm dikendalikan saya bersama tiga beradik, iaitu Mohd Syariffuddin, 26; Siti Zubaidah, 23, dan Nizammuddin, 18. Kami mengumpul modal untuk meluaskan perniagaan penternakan lembu dan kambing," katanya kepada BH.


PEMILIK Best Farm, Mohd Sallehuddin Muhammad Razali,32 dengan ternakan kambing yang di usahakan sejak 1985 di Batu Caves. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

Sallehuddin yang juga Al Hafiz dari Institut Tahfiz al-Quran Albanaghunuddin berkata, ketika itu matlamat syarikat mereka hanya memenuhi tuntutan Islam sebagai pembekal haiwan ternakan halal lagi suci, bukan keuntungan semata-mata.

"Bagi kami perniagaan ini adalah satu fardu kifayah dan dituntut agama kerana ia memudahkan umat Islam bagi mendapatkan lembu serta kambing bagi tujuan ibadah.

"Tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan, sebagai permulaan kami membeli 10 ekor lembu.

"Berkat usaha gigih, ia berkembang maju dan pada hari ini mampu membekalkan lembu, kambing serta kibas dengan jumlah keseluruhan melebihi 1,000 ekor," katanya.

Menyingkap kembali perniagaan berkenaan, beliau berkata, pelbagai kritikan dan cabaran terpaksa dihadapi untuk memastikan Best Farm yang diwarisi daripada arwah bapa mereka, terus berkembang.


PEMILIK Best Farm, Mohd Sallehuddin Muhammad Razali,32 pembekal kambing dan lembu di Batu Caves. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

"Sejak kecil kami melihat kegigihan ayah dan ibu mengusahakan kolam ikan, membela ayam, kambing dan lembu. Semangat mereka begitu kuat sehingga mampu tampil antara usahawan tani yang berjaya.

"Atas semangat itu, kami tidak mahu pandang ke belakang bagi memastikan Best Farm menjadi sebuah syarikat berdaya maju. Syukur, kini Best Farm memiliki empat ladang ternakan dan terbaru di Negeri Sembilan yang sudah beroperasi sejak tahun lalu.

"Best Farm bukan sahaja membekalkan lembu dan kambing untuk korban, tetapi perniagaan kami diperluaskan dengan membekalkan kambing panggang berharga RM800 sehingga RM1,200 seekor, termasuk perkhidmatan membakar serta melayan untuk katering," katanya.

Katanya, selain mendapat tempahan agensi kerajaan dan syarikat swasta, ternakan mereka turut ditempah kerabat Diraja Negeri Sembilan sejak sembilan tahun lalu, menjelang Aidiladha serta sambutan hari kebesaran lain.

"Menceburi perniagaan ini tidak semudah mata memandang kerana sebagai usahawan tani, kita perlu melakukan sendiri kerja di kandang. Cuci najis lembu dahulu baru boleh pegang duit.


PEMILIK Best Farm, Mohd Sallehuddin Muhammad Razali,32 dengan ternakan lembu yang diusahakan sejak 1985 di Batu Caves. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

"Saya sendiri sebelum ini pernah 'jatuh' dalam perniagaan. Pelbagai jenis perniagaan yang saya ceburi tidak menjadi malah saya pernah membuka kedai telefon bimbit dan terbabit dalam forex, namun rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.

"Tetapi ia tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya, sebaliknya kita harus sentiasa bersedia untuk gagal dan dari situ kita akan mengecapi kejayaan hasil pengalaman yang diperoleh daripada kegagalan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan Best Farm, Sallehuddin berkata, pihaknya sedang merancang untuk membuka akademi keusahawanan bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan Bumiputera.

"Best Farm sedia menyalurkan kepakaran serta pengetahuan, terutama dalam bidang penternakan dan pertanian dalam memeriahkan lagi industri makanan negara.

"Ilmu yang kita ada tidak elok disimpan begitu sahaja, sebaliknya kita harus berkongsi pengetahuan yang ada. Menjadi niat saya untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu berdaya saing.

"Kelak, ilmu yang mereka peroleh boleh diturunkan kepada generasi akan datang sekali gus memastikan bidang keusahawanan terus menjadi pilihan, terutama dalam generasi muda," katanya.


PEMILIK Best Farm, Mohd Sallehuddin Muhammad Razali, 32 (kiri) bersama adiknya, Siti Zubaidah, 23 (tengah) dan Nizammuddin, 18 dengan ternakan kambing yang diusahakan sejak 1985 di Batu Caves. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

INFO: Best Farm

  • Nama syarikat: Best Farm
  • Perkhidmatan: Membekalkan lembu dan kambing untuk korban dan akikah, katering, jual beli ternakan, baja dan kambing golek istimewa segar
  • Alamat: No 25, Jalan 8A, Taman Bendahara, Batu Caves
  • Tel: 012-2228030/019-2338030.
Berita Harian X