Khamis, 17 Ogos 2017 | 10:00pm
MINYAK Bukhoor. - Foto Saifullizan Tamadi

Haruman sunnah

Harus hukumnya menggunakan wangian sama ada dipakai pada anggota badan atau sebagai pewangi bagi acara tertentu seperti doa selamat, tahlil dan majlis ilmu.

Pemakaiannya perlulah selari dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah serta tidak dipengaruhi unsur khurafat atau pemujaan.

Sebelum lahirnya pelbagai pewangi campuran, kemenyan digunakan sejak zaman berzaman dan menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia turut menjadi tradisi orang Arab yang menggunakan wangian dipanggil sebagai 'bukhoor'.

Bukhoor diperbuat daripada potongan kayu gaharu yang diproses dan kemudiannya dicampur dengan pelbagai pati haruman lain termasuk minyak gaharu. Bukhoor dibakar bagi mengharumkan ruang.


Faisal Daman Huri, bersama produk Bukhoor.

Daripada Nafi, "Ibnu Umar apabila ingin berwangi maka dia akan berwangi dengan kemenyan, tanpa mencampurkan dengan bahan lain, atau berwangi dengan kafur atau mencampurkan kafur dan kemenyan. Dia berkata: Beginilah Rasulullah SAW berwangi." (Riwayat Muslim)

Di pasaran antarabangsa, terdapat beratus jenis wangian bukhoor kerana setiap daripada pokok gaharu mengeluarkan bauan yang berbeza.

Pengusaha bukhoor di bawah label Wangian Itu Sunah, Faisal Daman Huri, 33, berkata pokok gaharu sangat bernilai kerana daripada akar hingga ke daunnya boleh diproses untuk menjadi wangian.

"Gred pada pokok kayu gaharu akan menentukan bau yang dikeluarkannya. Jika kayu itu berkualiti tinggi, ia akan mengeluarkan bau yang harum dan lebih menyegarkan.


BAHAN pembakar Bukhoor.

"Biasanya, kayu gaharu selepas diproses menjadi bukhoor akan tampil dalam pelbagai bentuk antaranya serpihan kayu yang dipotong kecil, kepingan hampas dan serbuk," katanya.

Antara jenis wangian bukhoor yang terdapat di pasaran termasuk Shikha, Oud al-Majlis, Oud Maal Attar, Oud Barakah, Bukhoor al-Qamar, Lailat al-Khamis dan Diamond.

Set lengkap wangian ini seperti wangian moden yang terdapat di pasaran yang kebanyakannya menggunakan wangian cecair dipanaskan dengan lilin. Bukhoor terdiri daripada mabkhara iaitu bekas bagi mengisi bukhoor, mancis, arang dan penyepit.

Bukhoor dinyalakan dengan meletakkan arang sintetik yang baranya boleh bertahan sehingga satu jam bersama serbuk bukhoor ke dalam mabkhara, kemudian api dinyalakan sehingga mengeluarkan kepulan asap.

Asap berkenaan akan mengeluarkan bau-bauan menyegarkan bergantung kepada jenis bukhoor digunakan. Menariknya, asap yang keluar daripada bukhoor ini tidak melemaskan termasuk untuk kanak-kanak kerana ia menggunakan gaharu yang bertindak menghasilkan oksigen, bukan karbon.


FAISAL Daman Huri, menunjukkan cara membakar Bukhoor.

Faisal mengakui, bukhoor masih asing dalam kalangan masyarakat tempatan, bagaimanapun ia semakin kerap digunakan terutama sebagai aksesori hiasan.

Katanya, keunikan mabkhara (bekas untuk membakar) yang pelbagai bentuk diperbuat daripada seramik, kayu dan besi dengan ukiran bermotif Islamik menjadikan ia pilihan untuk mereka yang menginginkan kelainan pada haruman pada ruang pilihan.

Terdapat dua jenis mabkhara di pasaran iaitu yang menggunakan arang dan elektrik. Mabkhara jenis arang mengambil masa 30 saat untuk menjadi bara, manakala elektrik pula boleh panas dalam tempoh seminit dan mengeluarkan asap serta bau yang semerbak.

Penggunaan set bukhoor dan mabkhara juga semakin popular apabila ia digunakan oleh ulama serta pendakwah dalam majlis ilmu di masjid, surau atau institusi agama.

Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan Madinah, pasti merindui bauan bukhoor yang mengisi segenap ruang Masjidil Haram serta Masjid Nabawi.

INFO

  • Set mabkhara di pasaran dijual dengan harga serendah RM50.
  • Kelebihan mabkhara seramik adalah ia lebih tahan lama kerana selepas dibasuh, ia kelihatan baharu dan kembali berkilat.
  • Oud al-Majlis antara bukhoor yang popular dan banyak digunakan terutama dalam majlis ilmu.
  • Lebih gelap struktur kayu gaharu, lebih tinggi kualiti dan semerbak bau dikeluarkannya.
  • Minyak kayu gaharu yang sudah diproses turut dijadikan minyak wangi untuk dipakai pada anggota badan.

Berita Harian X