SARIKEI: Bermula dari aktiviti kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang golongan wanita di rumah panjang, koleksi bakul plastik anyaman kini menembusi pasaran antarabangsa, terutama Eropah.
Ia kini bukan hanya sekadar sumber pendapatan sampingan, malah seni anyaman itu muncul antara aset pelancongan utama di Bumi Kenyalang yang turut membantu mempromosikan bandar ini dalam kalangan negara luar.
Malah, koleksi bakul plastik anyaman itu tidak pernah ketinggalan dalam menyertai pelbagai pameran kraftangan unik, dengan adanya pelanggan sanggup menawar harga tinggi untuk mendapatkan koleksi itu.
Ini diakui seorang daripada pengusaha kraf tangan, Ronny Guru, 35, dari Rumah Panjang Taka di Sungai Pauh, di sini sambil menyatakan penghasilan bakul berkenaan turut membantu pertumbuhan sosioekonomi setempat.
"Purata 100 bakul sebulan dapat dihasilkan, namun tidak mampu menampung tempahan yang sentiasa meningkat, termasuk dari luar negara. Memang kita tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
"Kebanyakannya dihasilkan menggunakan tangan tanpa bantuan mesin. Selain reka bentuk yang unik, ia dihasilkan dengan penuh ketelitian dan cukup halus buatannya. Ini yang menyebabkannya menjadi rebutan," katanya.
Beliau berkata, tempoh menyiapkan bakul berkenaan bergantung kepada saiz, selain rekaan coraknya yang bermotifkan kepelbagaian etnik dan subetnik di Sarawak.
"Perlukan kesabaran dan minat untuk menghasilkan kraftangan ini. Proses pembuatannya agak rumit kerana membabitkan seni anyaman," katanya.
Ronny berkata, permintaan yang semakin menggalakkan, mendorong mereka untuk berusaha lebih keras menghasilkan kraftangan lebih bermutu tinggi.
"Di rumah panjang kami, majoriti wanitanya menyara hidup dengan memanfaatkan hasil bumi di kawasan sekeliling. Bahan-bahan untuk anyaman seperti rotan, buluh dan mengkuang cukup mudah diperoleh.
"Bagaimanapun, saya membeli sendiri bahan untuk menganyam bakul plastik. Lagi pun harganya murah dan lebih banyak warna pilihan. Coraknya pula terpulang pada kreativiti sendiri," katanya.
Sementara itu, Mit Julai, 40, dari Pakan berkata, aktiviti menganyam bertujuan mengisi waktu terluang.
"Kami menghasilkan pelbagai bentuk kraftangan anyaman daripada bakul hingga ke barangan cenderamata bersaiz kecil. Sebahagiannya untuk keperluan keluarga dan ada yang dijual sebagai sumber pendapatan sampingan.
"Komuniti di sini terutama suri rumah dilihat cukup berminat dan memberi komitmen yang amat baik," katanya.
Biarpun sebahagian besar komuniti setempat sudah mahir menghasilkan kraftangan, namun mereka masih menggunakan khidmat seorang guru berpengalaman untuk membimbing peserta baharu.
"Kebanyakan kraftangan dihasilkan dijual borong ke pasaran tempatan. Kemudian, pemborong yang membantu memasarkannya hingga ke luar negara, malah sudah sampai ke Eropah," katanya.