Rabu, 19 Julai 2017 | 12:05am
ANTARA pekerja syarikat Syarif Mizan Food Industry Sdn Bhd (SMFI). - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
ANTARA pekerja syarikat Syarif Mizan Food Industry Sdn Bhd (SMFI). - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Jatuh bangun SMFI dalam bisnes sate

JOHOR BAHRU: Perniagaan sate milik keluarga yang diasaskan oleh arwah bapanya, sejak lebih 30 tahun lalu hanya bermula dengan sebuah bengkel kecil di sebelah rumah di Kampung Melayu Majidee, di sini.

Namun pada akhir 2015, berbekalkan modal sendiri sebanyak RM100,000 dan bantuan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN Nasional) sebanyak RM40,000, Syarif Mizan Food Industry Sdn Bhd (SMFI) berjaya memindahkan operasi dengan menyewa sebuah kilang di Jalan Sahabat berhampiran kediaman mereka.

Pengarah Urusan SMFI, Mohd Syarifuddin Misjan, 31, berkata daripada kira-kira 5,000 sate dikeluarkan sehari, kini syarikatnya mengeluarkan antara 10,000 hingga 20,000 sate sehari yang diedarkan ke seluruh Johor termasuk hotel, restoran dan peniaga gerai.

Katanya, kilangnya itu yang memiliki seramai 10 pekerja di bahagian pengeluaran turut mengeluarkan sate sejuk beku dan produk berasaskan sate bagi memenuhi permintaan pelanggan.

PENGARAH Urusan SMFI, Mohd Syarifuddin Misjan. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PENGARAH Urusan SMFI, Mohd Syarifuddin Misjan. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

"Perniagaan sate kami mula mengalami zaman kemerosotan pada 2003, apabila bapa, Misjan @ Mizan Bawok meninggal dunia akibat sakit jantung.

"Ketika itu, ramai pelanggan yang hilang kepercayaan terhadap resipi sate yang diambil alih oleh ibu. Pada masa itu, ibu tidak tahu resipi sebenar sate yang dihasilkan arwah bapa, sehingga satu hari dia bermimpi mengenai adunan sate dan meneruskan resipi mimpi itu sehingga kini namun ditambah baik.

"Melihat kepada kepayahan ibu, saya pun meneruskan pengajian dalam bidang kulinari di sebuah kolej untuk meneruskan perniagaan sate keluarga pada 2004.

"Langkah pertama yang saya ambil ialah menghantar sampel sate ke hotel dan restoran bagi mendapatkan pelanggan," katanya.

Mohd Syarifuddin berkata, pada 2008, SMFI mula mendapat kepercayaan apabila menerima banyak tempahan daripada restoran dan hotel terkemuka di bandar raya ini dan jumlah tempahan meningkat mendadak, terutama pada musim perayaan dan Ramadan.

MOHD Syarifuddin menunjukkan produk berasaskan sate yang dihasilkan syarikatnya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MOHD Syarifuddin menunjukkan produk berasaskan sate yang dihasilkan syarikatnya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

MOHD Syarifuddin bergambar bersama pekerja syarikatnya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
MOHD Syarifuddin bergambar bersama pekerja syarikatnya. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Katanya, syarikat turut mengekalkan resipi dan menambah baik kualiti produk dengan hanya menggunakan daging batang pinang dan ayam bahagian dada bagi mendapatkan sate terbaik.

"Bagaimanapun, apabila perniagaan sate kami mula berkembang, dari situ wujud keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal daripada pihak berwajib bagi melancarkan pemasaran produk.

"Mungkin ramai menyifatkan sijil halal itu tidak penting, namun bagi saya ia adalah platform untuk kita memperluaskan pasaran produk bukan saja tempatan tetapi juga eksport pada masa depan," katanya sambil menambah SMFI memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Januari lalu.

Mohd Syarifuddin, berkata beliau merancang untuk memperkenalkan perniagaan kios secara francais bagi membantu lebih ramai peniaga menjalankan perniagaan sate dengan modal yang rendah.

Selain itu, syarikatnya juga menjalankan perniagaan Almizan Satay House sejak lima tahun lalu dan di Tepian Tebrau, di sini, sejak 30 tahun lalu.

INFO

Syarif Mizan Food Industry Sdn Bhd:

  • # Pengeluar dan pengedar sate daging lembu, ayam dan kambing serta produk sejuk beku.
  • # Memperoleh purata jualan antara RM60,000 hingga RM120,000 sebulan.
  • # Dibantu TEKUN Nasional sebanyak RM40,000.
  • # Bantuan mesin pengisar dan peti sejuk bernilai RM5,000 daripada Jabatan Pertanian Johor.
  • # Mendapat persijilan halal JAKIM pada 1 Januari 2017.
  • # Menggunakan purata 100 kg hingga 200 kg daging dan ayam sehari.
Berita Harian X