Khamis, 2 Disember 2021 | 12:49pm
Pertama Digital Bhd
Pertama Digital Bhd

Bayaran zakat tanpa tunai guna MyPay

KUALA LUMPUR: Pertama Digital Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk memproses bayaran zakat tanpa tunai melalui MyPay.

MyPay adalah aplikasi super milik kumpulan untuk perkhidmatan kerajaan yang dikendalikan oleh DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, anak syarikat majoriti milik Pertama Digital.

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar, berkata pandemik COVID-19 telah mempercepatkan permintaan untuk perkhidmatan kerajaan digital, termasuk bayaran zakat tanpa tunai.

"Pada masa yang sama, golongan asnaf berdepan cabaran yang tidak seimbang dalam suasana yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan jurang digital.

"Kami mengenal pasti keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah ini melalui pendigitalan," katanya dalam satu kenyataan.

Ciri sumbangan zakat MyPay sudah dilancarkan dengan PPZ-MAIWP dan disiarkan secara langsung dalam aplikasi tepat pada musim kemuncak sumbangan zakat iaitu pada Disember.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dapat, Amanda Sabri, berkata pihaknya membina ciri sumbangan zakat MyPay selepas mendapat pemahaman terperinci mengenai perkara yang diperlukan oleh setiap pemegang kepentingan dan perkara yang tidak ditangani oleh pesaing.

Katanya, pada 2020, PPZ-MAIWP mengutip RM756 juta zakat, yang mana hanya RM122 juta dikutip secara dalam talian.

"Kami melihat peluang untuk menyumbang kembali kepada rakyat dengan menggunakan kepakaran dalam melancar dan menskalakan penyelesaian digital untuk perkhidmatan kerajaan," katanya.

Beliau menambah, kepakaran Dapat terletak pada keupayaan untuk memacu penggunaan digital dalam kalangan orang ramai, seperti yang ditunjukkan dalam penyelesaian pembayaran jaminan digital yang diterima pakai secara meluas, eJamin.

Berita Harian X