Selasa, 10 Ogos 2021 | 10:13am
Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia)
Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia)

Pelanggan Lotus's boleh bayar guna ShopeePay

KUALA LUMPUR: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia), yang sebelum ini dikenali sebagai Tesco Malaysia, memperluaskan ekosistem pembayaran tanpa sentuhannya dengan penerimaan ShopeePay.

Pengarah Eksekutif Pelanggan Lotus's Malaysia, Vivian Yap, berkata ia adalah sebagai tindak balas kepada peningkatan tahunan 25 peratus pembayaran tanpa tunai yang direkodkan dalam kalangan pembeli.

Katanya, kemunculan pandemik COVID-19 selain adanya kemudahan, keselamatan dan sokongan daripada kerajaan telah menggalakkan penerimaan pembayaran tanpa tunai di Malaysia.

"Memandangkan kebergantungan terhadap e-dompet semakin meningkat, kami perlu memastikan bahawa semua pilihan cara pembayaran yang sedia ada dapat diakses oleh pelanggan.

"Dengan populariti ShopeePay yang kian meningkat seperti yang dilihat daripada reaksi pasaran semasa pelaksanaan eBelia, kami percaya bahawa kerjasama ini akan memanfaatkan pembeli Lotus's dan juga pengguna ShopeePay.

"Pelanggan juga akan menikmati pulangan tunai apabila membayar barangan runcit menggunakan ShopeePay di mana-mana 62 cawangan kami di seluruh negara, membolehkan mereka menikmati lebih penjimatan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee, berkata peningkatan pembayaran tanpa tunai di Lotus's menunjukkan penerimaan positif terhadap pembayaran tanpa sentuhan di negara ini.

"Peningkatan dari tahun ke tahun bagi pembayaran tanpa tunai di rangkaian peruncitan yang besar seperti Lotus's menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kesedaran serta penggunaan untuk transaksi tanpa tunai di Malaysia.

"Memandangkan tawaran nilai Lotus's sebagai sebuah platform e-dagang dengan penembusan pasaran yang luas di seluruh negara, kami percaya bahawa kami berada dalam kedudukan yang unik untuk bersinergi kedua-dua sektor peruncitan di luar talian dan dalam talian," katanya.

Bagi meraikan kerjasama Lotus's dengan ShopeePay, pelanggan akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM4 menerusi pembelanjaan minimum RM40 dalam satu transaksi apabila membayar barangan runcit dengan ShopeePay di mana-mana cawangan Lotus's.

Bermula dari sekarang hingga 29 September 2021 dan sempena dengan Shopee 8.8 Jualan Berjenama, setiap pembeli akan mendapat maksimum dua pulangan tunai sepanjang tempoh kempen ini.

Selain itu, pelanggan juga dapat menikmati pulangan tunai sebanyak RM3 dengan pembelanjaan minimum RM15 apabila menggunakan ShopeePay di mana-mana cawangan Lotus's dari sekarang hingga 31 Disember 2021.

Bagaimanapun, setiap pengguna hanya akan mendapat pulangan wang tunai RM3 sekali setiap hari.

Berita Harian X