Ahad, 22 November 2020 | 2:30pm
Canon Marketing Malaysia
Canon Marketing Malaysia

Canon Malaysia sasar bina perniagaan baharu

KUALA LUMPUR: Canon Marketing Malaysia menyasar untuk mewujudkan perniagaan baharu dan berkembang menerusi pempelbagaian.

Ia juga menyasarkan perluasan operasi sedia ada kepada dua segmen iaitu perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dan perniagaan-kepada-pengguna (B2C).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Andrew Koh, berkata syarikat mengenal pasti dan menerima cabaran pertumbuhan baharu melalui transformasi strategik ke atas B2B dan B2C.

"Dalam segmen B2B, Canon menyasar untuk mengembangkan segmen ini sehingga 50 peratus daripada perolehan keseluruhan dalam tempoh tiga tahun. Pada masa ini, kami telah mencapai 35 peratus," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bagi segmen B2C, Canon mahu menambah baik pasaran secara berterusan dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pengguna di setiap peringkat kehidupan.

Berikutan pandemik COVID-19 terus mengganggu pasaran, pengeluaran dan rantaian bekalan, Canon menyediakan pelbagai inisiatif terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengekal dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka dalam tempoh mencabar ini.

Koh berkata, sebagai penyedia penyelesaian keseluruhan, Canon memiliki rangkaian produk teknologi B2B yang komprehensif bagi menawarkan pelbagai perkakasan, penyelesaian dan perkhidmatan kepada PKS.

Justeru, ini sekali gus dapat memastikan sektor itu mampu mencatatkan prestasi optimum serta memberikan penyelesaian terbaik kepada pelanggan mereka, katanya.

Canon mempunyai 61 vendor yang sah menerusi perkongsian rasmi di seluruh negara untuk menawarkan perkhidmatan, termasuk kerja pemasangan, mitigasi masalah rangkaian serta penyenggaraan produk peranti pelbagai fungsi.

-BERNAMA

Berita Harian X