Rabu, 7 Oktober 2020 | 3:44pm
Persidangan tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, LEVEL UP KL 2020
Persidangan tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, LEVEL UP KL 2020

Lebih 50,000 peserta dijangka sertai LEVEL UP KL 2020

KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 pemain, pembangun, pengedar dan pengunjung dari 30 negara dijangka menyertai persidangan tahunan pembangun permainan Asia Tenggara, LEVEL UP KL 2020.

Persidangan yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu juga buat pertama kalinya bakal diadakan secara maya sepenuhnya, yang akan bermula pada 10 Oktober hingga 22 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata pada 2015, terdapat hanya 372 peserta namun jumlahnya telah meningkat empat kali ganda kepada 1,791 pada tahun lalu.

Perkembangan itu, katanya menjadi bukti kukuh bahawa industri permainan video di Asia Tenggara sedang berkembang dengan begitu pesat sekali.

"Ekoran penularan pandemik yang memaksa lebih ramai orang bekerja dari rumah, MDEC mendapati berlaku peningkatan mendadak terhadap populariti permainan video yang menjadi salah satu aktiviti utama ketika di rumah.

"Oleh itu, kami yakin bahawa trend ini akan dizahirkan dalam edisi LEVEL UP KL kali ini dengan jangkaan untuk meraih lima juta capaian melalui media sosial dan merekodkan 50,000 pengunjung berdaftar untuk acara maya yang pertama seumpamanya ini," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Persidangan dan pameran permainan digital selama dua bulan ini mempunyai pengisian yang padat dengan menampilkan pelbagai aktiviti khusus untuk perniagaan dalam industri permainan video serta orang awam.

Acara bakal dimulakan dengan penganjuran 'Southeast Asia (SEA) Game Jam Online', sebuah platform yang pertama seumpamanya, menampilkan 100 pembangun permainan dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Sama seperti sebelumnya, acara hackathon ini akan berlangsung selama 36 jam, di mana para peserta akan berentap bagi merebut peluang untuk memenangi hadiah tunai RM6,000.

Pertemuan perniagaan akan turut diadakan secara maya, yang menawarkan persekitaran perbincangan dan pembinaan rangkaian yang lebih mendalam dan serba interaktif dengan menghubungkan pakar-pakar industri terkemuka, studio permainan Asia Tenggara dan pembangun permainan video yang bercita-cita besar.

Sementara itu Ketua Media Interaktif, Kandungan Kreatif Digital MDEC, Mohan Low, berkata perkembangan mendadak e-sukan di seluruh dunia memberi isyarat jelas kepada Malaysia.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, Malaysia telah menyaksikan kejayaan bakat-bakat tempatan di pentas e-sukan antarabangsa dalam pelbagai permainan termasuklah Hearthstone oleh Blizzard, League of Legends, CS:GO dan DoTA 2.

"Sudah pasti terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh kita saksikan dan alami kerana ia bukan sekadar hiburan dan permainan semata-mata.

"LEVEL UP KL 2020 memberi peluang kepada bakat e-sukan yang sedang meningkat naik dan berpengalaman, serta pemain utama industri permainan keseluruhannya untuk bertemu, berinteraksi dan bersama-sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi sektor e-sukan tempatan," katanya.

Berita Harian X