Selasa, 4 Ogos 2020 | 12:42pm
Anak syarikat NanoMalaysia Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan Pulsar UAV
Anak syarikat NanoMalaysia Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan Pulsar UAV

NanoMalaysia, Pulsar komersialkan pesawat tanpa pemandu

KUALA LUMPUR: NanoCommerce Sdn Bhd (NSCB), anak syarikat NanoMalaysia Bhd menandatangani perjanjian usaha sama dengan Pulsar UAV Sdn Bhd (Pulsar UAV) untuk mengkomersialkan dron berkuasa hidrogen yang dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UAV) berkuasa sel daya tahan tinggi.

Menerusi perjanjian itu, NSCB akan memegang 20 peratus kepentingan dalam Pulsar UAV.

Ketua Pegawai Eksekutif NCSB dan NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad, berkata NanoMalaysia memberi nilai intrinsik kepada projek berkenaan menerusi pengumpulan pelaburan projek, harta intelek serta pengesahsahihan dan akses pasaran.

"Usaha sama ini juga akan membolehkan NanoMalaysia Bhd membangunkan lagi Sistem Penyimpanan Tenaga Hybrid dan Hidrogen (H2SS) sedia ada, yang pada masa ini menggerakkan dron Pulsar, untuk projek lain seperti kereta lumba elektrik pertama Malaysia yang dibangunkan di peringkat tempatan, iaitu Kereta Lumba Elektrik Bersepadu Hidrogen (HyPER).

"Dron berkuasa hidrogen dalam pesawat itu telah melalui proses sandbox untuk pertanian kejituan dengan tahap kejayaan," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, HyPER bertujuan menggerakkan sektor automotif dan pengangkutan Malaysia ke arah tenaga boleh diperbaharu, khususnya hidrogen hijau sebagai langkah pertama menuju Ekonomi Hidrogen.

Pasaran kenderaan elektrik global mencecah nilai AS$39.8 bilion (RM167 bilion) pada 2018 dan diunjurkan mencapai AS$1.5 trilion (kira-kira RM6.4 trilion) menjelang 2025.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pulsar UAV, Izmir Yamin berkata perjanjian usaha sama itu akan membantu syarikat mengesahkan keperluan perkhidmatan dron dalam pelbagai sektor, terutama pertanian.

"Pengesahsahihan pasaran itu memberikan asas untuk kami meningkatkan lagi perkhidmatan dron menerusi pembangunan penjana hidrogen dalam pesawat," katanya.

Beliau berkata, dengan teknologi hidrogen dalaman, pihaknya kini bukan hanya menambah baik perkhidmatan dron malah dapat meneroka sektor lain seperti tenaga dan pengangkutan.

Berita Harian X