Ahad, 17 Mei 2020 | 2:18pm
Trend pengguna semakin beralih kepada e-dagang
Trend pengguna semakin beralih kepada e-dagang

COVID-19 lonjak penggunaan e-dagang

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 menyaksikan peralihan trend pengguna yang mendorong perniagaan untuk meneroka strategi baharu untuk berinteraksi dengan pengguna dan memudahkan proses urus niaga.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, perkara itu bukan hanya menyebabkan penerapan e-dagang yang kuat dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, malah mewujudkan segmen pasaran baharu untuk industri berkenaan.

"Contohnya pada tahun lalu, hampir tiada yang menjual dan membeli hasil segar seperti ikan, ayam, daging lembu dan juga durian di platform e-dagang.

"Namun, pada April sahaja, kira-kira 1,000 penjual hasil segar dan beku, termasuk petani dan nelayan, mula menjual di Shopee.

"Shopee mendapati bahawa banyak penjual yang menawarkan lebih daripada 20 jenis produk di kedai mereka dapat menjana jualan bulanan sehingga RM100,000," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Shopee mendapati tabiat membeli-belah baharu dalam kalangan pengguna Malaysia dengan kepentingan baharu peranan e-dagang dalam kehidupan harian mereka dengan pengguna meluangkan kira-kira 20 peratus lebih banyak masa di Shopee dalam seminggu.

Ini katanya, menandakan peningkatan kebergantungan kepada e-dagang yang menawarkan pengguna akses sehenti kepada segala-galanya, termasuk hiburan.

"Barangan runcit dan haiwan peliharaan, konsol permainan dan peralatan rumah amat popular dalam kalangan pengguna yang mencari barang keperluan harian, keperluan rumah tangga dan permainan untuk dinikmati dan menghiburkan seisi keluarga.

"Peniaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan, dengan peniaga yang menawarkan makanan segera dan peralatan membakar masing-masing mencatatkan 60 kali lebih banyak pesanan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sejak beberapa bulan lalu, aktiviti membeli-belah pada hari Isnin dan Selasa telah meningkat menunjukkan rakyat Malaysia gemar membeli-belah pada awal minggu," katanya.

Ho berkata, Shopee juga melihat peningkatan dalam interaksi sosial di platformnya dengan lebih tiga juta mesej secara purata dihantar setiap hari apabila pengguna berinteraksi dengan peniaga untuk bertanya harga, stok, kelajuan penghantaran dan banyak lagi.

"Tahun 2020 mengubah cara kita hidup, bekerja dan berbelanja dalam talian. Oleh itu, jenama dan penjual di seluruh rantau ini telah meningkatkan usaha digitalisasi mereka, terutama sekarang.

Shopee juga katanya, mendapati bahawa jumlah aliran Shopee Live dari jenama dan penjual meningkat sebanyak 70 kali ganda sejak penularan COVID-19 dalam satu usaha untuk mencari pendekatan yang lebih bersifat peribadi untuk berhubung dengan pengguna.

"Penjual baharu Shopee, Deep Sea Fishery Kingdom berjaya meraih hasil jualan makanan laut bernilai RM1,200 dalam hanya beberapa minit semasa siaran langsung sulungnya. Shopee menjangkakan trend menjual dan membeli melalui penstriman langsung akan menjadi lebih popular seperti di China," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X