Khamis, 19 March 2020 | 6:21pm
CELCOM Axiata Bhd
CELCOM Axiata Bhd

Celcom tawar akses WhatsApp tanpa had

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd memperluaskan sokongan untuk semua pelanggan melalui perkhidmatan dalam talian digital dan tambahan inisiatif bantuan khas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.

Sehingga 31 Mac ini, pembekal perkhidmatan telekomunikasi mudah alih itu menawarkan akses tanpa had secara percuma kepada aplikasi sembang WhatsApp, panggilan suara dan video untuk semua pelanggan pasca bayar dan prabayar Celcom Xpax antara 8 pagi hingga 6 petang pada setiap hari.

Ia juga menawarkan akses tanpa had secara percuma ke atas aplikasi Microsoft Office 365 untuk semua pelanggan pasca bayar dan Celcom Xpax.

“Semua pelanggan pasca bayar Celcom akan mendapat lanjutan tempoh bayaran selama tujuh hari membabitkan pembayaran bil dari tarikh semasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelanggan Celcom Xpax akan menikmati pulangan tunai 10 peratus apabila mereka membeli tambah nilai Celcom Xpax sebanyak RM10 dan melalui App Life Celcom, sehingga 30 Jun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata keprihatinan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna serta pekerja, kekal menjadi keutamaan syarikat dan Celcom komited untuk menyokong rakyat Malaysia dengan memastikan mereka boleh terus berhubung.

“Memandangkan ramai pelanggan kami yang bekerja dari rumah atau menghadkan pergerakan mereka, kami telah menyediakan rangkaian kami untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan perubahan tingkah laku penggunaan,” katanya.

-BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X