Jumaat, 7 Februari 2020 | 4:16pm
PAKATAN Perkhidmatan Pemaju Global (GDSA).
PAKATAN Perkhidmatan Pemaju Global (GDSA).

Empat firma China bergabung cabar Google Play

SHENZEN: Xiaomi, Huawei Technologies, Oppo dan Vivo bekerjasama membina platform untuk pemaju aplikasi di luar China memuat naik produk masing-masing, langkah yang dikatakan penganalisis bakal mencabar penguasaan Google Play.

Keempat-empat syarikat itu sedang membina perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Perkhidmatan Pemaju Global (GDSA).

Platform itu disasar membolehkan pemaju permainan, muzik, filem dan aplikasi lain memasarkan produk masing-masing ke pasaran luar negara, menurut individu yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

GDSA pada awalnya disasar akan dilancarkan Mac ini, kata sumber, walaupun masih belum jelas sama ada ia terkesan oleh penularan coronavirus ketika ini.

Satu laman web prototaip berkata, platform itu pada awalnya meliputi sembilan ‘wilayah’ termasuk India, Indonesia dan Russia.

Oppo dan Vivo kedua-duanya dimiliki oleh pengeluar China, BBK Electronics.

Oppo, Vivo dan Xiaomi mengesahkan secara bersama membangunkan GDSA sebagai kaedah memuat naik aplikasi ke dalam stor peranti mereka secara serentak.

Seorang jurucakap Xiaomi berkata, pakatan itu tidak berhasrat mencabar Google dan menafikan pembabitan Huawei, namun Oppo dan Vivo tidak menyebut Huawei di dalam kenyataan masing-masing.

Huawei enggan mengulas.

Perkhidmatan Google yang dilarang di China, meraih jualan kira-kira AS$8.8 bilion (RM36.4 bilion) di seluruh dunia daripada perkhidmatan Play tahun lalu, kata penganalisis Sensor Tower, Katie Williams.

Google juga menjual kandungan seperti filem, buku dan aplikasi di stor Play dengan memperoleh 30 peratus komisen.

Google tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

“Dengan membentuk pakatan ini, setiap syarikat akan memanfaatkan kelebihan satu sama lain di wilayah berlainan, dengan pangkalan pengguna Xiaomi yang kukuh di India, Vivo dan Oppo di Asia Tenggara serta Huawei di Eropah,” kata Naib Presiden Mobiliti Canalys, Nicole Peng.

“Keduanya, ia akan mula membina kuasa rundingan bersama Google,” tambahnya.

Secara bersama, keempat-empat syarikat menguasai 40.1 peratus jualan telefon pintar global pada suku keempat 2019, menurut firma perunding IDC.

Oppo, Vivo dan Xiaomi mempunyai akses penuh kepada perkhidmatan Google di pasaran antarabangsa, namun Huawei kehilangan akses itu bagi peranti baharu tahun lalu selepas Amerika Syarikat (AS) melarang pembekalnya daripada menjual barang serta perkhidmatan kepada firma itu.

-Reuters

Berita Harian X