Khamis, 9 Januari 2020 | 5:31pm

TM, Digi jalin kerjasama 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), menjalinkan kerjasama bagi menguji keupayaan, keberangkalian, dan had perkongsian rangkaian 5G di antara pelbagai penyedia perkhidmatan semasa tempoh Projek Demonstrasi 5G (5GDP).

Menerusi kerjasama itu, Digi yang sedang menjalankan tapak 5GDP termasuk rangkaian radio di tapak dan pusat rangkaian 5G di Langkawi, menjalankan kes kegunaan teknologi itu dengan dibantu oleh TM dengan menyediakan jaringan terhubung ke rangkaian utama di tapak berkenaan.

Kedua-dua syarikat yang pada masa ini terbabit dalam 5GDP yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Syarikat dalam kenyataan bersama, berkata kerjasama itu mencerminkan sinergi di antara penyedia rangkaian talian tetap dan mudah alih dalam membawakan penyelesaian sambungan 5G.

“Tambahan pula, kedua-dua pihak juga sedang menjalankan eksplorasi perkongsian Akses Rangkaian Radio (RAN) di Langkawi,” kata kenyataan itu.

Kerjasama itu diterjemahkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh, Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani, manakala Digi diwakili Ketua Pegawai Teknologinya, Kesavan Sivabalan.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Annuar Nuruddin, berkata ruang kerjasama dengan Digi yang mencerminkan komitmen, keterbukaan, dan neutralisasi TM untuk bekerjasama dengan pemain industri.

Katanya, kerjasama itu untuk mencapai aspirasi kerajaan untuk pelaksanaan 5G dengan keberkesanan kos.

“Kami berhasrat bukan saja ingin menyediakan ekosistem malah turut merancang untuk menjadi rakan kongsi neutral kepada pemain industri dan bekerjasama dengan rakan penyedia rangkaian ke arah menjadikan masyarakat dan gaya hidup yang lebih digital, perniagaan digital, vertikal industri, serta kerajaan digital.

“Kerjasama ini turut diharap akan memacu penyediaan perkhidmatan 5G ke seluruh negara dengan membawakan manfaat besar kepada pelanggan disamping kami menyediakan perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia ke seluruh negara, sejajar dengan aspirasi SKMM untuk menjayakan insan ke arah memperbaiki kualiti kehidupan rakyat.

“Menjadi sebahagian daripada 5GDP memberi peluang kepada kami untuk mempamerkan keupayaan kami melaksanakan 5G di Malaysia, di mana kami melaksanakan rangkaian 5G kendiri (SA) khusus yang pertama di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata, menerusi kerjasama dengan TM, ia akan terus komited untuk membina ekosistem rangkaian 5G bersama dengan industri.

Katanya, Digi melihat kerjasama itu sebagai satu langkah positif untuk menyediakan akses secara lebih meluas dan efisyen kepada rakyat Malaysia.

“Hasil penemuan yang dikumpulkan dari ujian 5G akan membantu kami menentukan bagaimana kami boleh melaksanakan 5G dengan lebih terancang membabitkan pelbagai industri, sejajar dengan hasrat SKMM ke arah pelaksanaan 5G menerusi pendekatan secara kerjasama untuk negara,” katanya.

Di Langkawi, Digi melaksanakan dua kes kegunaan, iaitu pelancongan maya di Lapangan Terbang Langkawi, dan pemindahan masa-nyata maklumat perubatan dan ambulans terhubung di Hospital Sultanah Maliha.

TM juga memulakan sejumlah 11 kes kes kegunaan di Langkawi meliputi Bandar Pintar, Pelancongan Pintar, dan kluster Pertanian Pintar, yang memberi tumpuan untuk menjadikan hidup lebih mudah, menepati keperluan dan memperkayakan gaya hidup rakyat.

5GDP Malaysia dimulakan pada Oktober 2019, dengan sasaran untuk membantu, membina dan mendorong pembangunan kes kegunaan 5G yang berpotensi untuk dibangunkan dalam persekitaran sebenar dan konteks yang lebih luas, untuk membangunkan ekosistem 5G di Malaysia.

Berita Harian X