Selasa, 24 Disember 2019 | 5:23pm

ByteDance tiada rancangan jual TikTok

BEIJING/SHANGHAI: Firma media sosial China, ByteDance tiada rancangan untuk menjual sebahagian atau seluruh aplikasi TikTok miliknya, kata Ketua Platform Video syarikat itu.

Ia sekali gus menafikan laporan media yang berkata syarikat itu sedang mempertimbangkan pilihan untuk melakukannya disebabkan kebimbangan terhadap Amerika Syarikat (AS).

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa syarikat itu sedang mempertimbangkan penjualan kepentingan TikTok.

“Dari masa ke masa anda mungkin membaca berita dalam media yang tidak benar. Hari ini, terdapat satu laporan tidak tepat yang mengatakan bahawa ByteDance mempertimbang untuk menjual sebahagian atau keseluruhan TikTok,” kata Alex Zhu dalam satu nota dalaman syarikat yang dilihat oleh Reuters.

“Kami mahu menegaskan bahawa ia tidak benar, namun mereka tetap menerbitkannya. Saya mahu memberi jaminan kepada anda bahawa tiada perbincangan dengan pembeli berpotensi TikTok, atau kami berhasrat melakukannya.”

Seorang jurucakap ByteDance enggan mengulas mengenai nota dalaman itu, namun menegaskan bahawa ‘tiada perbincangan mengenai penjualan sebahagian atau sepenuhnya TikTok’.

“Perkhabaran ini langsung tiada merit,” tambahnya.

ByteDance mahu melindungi TikTok, yang popular dalam kalangan remaja di AS bagi memastikan pegawai pengawal selia di negara itu bahawa data peribadi yang dipegang oleh aplikasi itu disimpan dengan selamat dan tidak akan dikompromikan oleh pihak berkuasa China.

Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS, yang menyemak urus niaga pembeli asing bagi sebarang potensi risiko keselamatan negara, sedang memerhatikan pembelian bernilai aplikasi media sosial Musical.ly bernilai AS$1 bilion oleh ByteDance pada 2017 yang mencetuskan pertumbuhan pesat TikTok, lapor Reuters.

-Reuters

Berita Harian X