Rabu, 18 Disember 2019 | 2:45pm
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat, U Mobile, Norfazidah Abu Bakar menunjukkan aplikasi pembayaran zakat menggunakan GoPayz. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat, U Mobile, Norfazidah Abu Bakar menunjukkan aplikasi pembayaran zakat menggunakan GoPayz. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

GoPayz sedia pembayaran zakat LZS

KUALA LUMPUR: GoPayz, aplikasi e-dompet yang dibangunkan U Mobile menawarkan pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia.

Perkhidmatan menerusi aplikasi e-dompet universal itu turut merangkumi pembayaran zakat pendapatan, perniagaan, simpanan, saham, emas dan harta.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, berkata perkhidmatan pembayaran zakat selari dengan matlamat GoPayz yang bukan hanya berfungsi sebagai e-dompet, tetapi platform perkhidmatan kewangan digital.

“Kami berbangga kerana menjadi aplikasi e-dompet pertama di Malaysia dilantik LZS sebagai ejen kutipan zakat rasmi,” katanya ketika majlis pelancaran perkhidmatan terbaharu aplikasi GoPayz di sini, hari ini.

Heang Tuck berkata, inisiatif yang dilaksanakan U Mobile dan LZS adalah untuk membantu pelanggan GoPayz menunaikan kewajipan zakat tahunan menerusi ekosistem digital.

“GoPayz komited untuk terus mengembangkan perkhidmatan digital bagi memberi keberkesanan dan akses tanpa had kepada semua pelanggan.

“Ini adalah fasa pertama dan kami akan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan Islam yang akan memanfaatkan komuniti dengan menyediakan akses lebih banyak peluang,” katanya.

Beliau berkata, GoPayz yang diperkenalkan Oktober lalu, kini mempunyai kira-kira 15,000 pelanggan dengan sekitar tujuh peratus adalah pelanggan Muslim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop, berkata lembaga kutipan zakat itu sedang beralih kepada pembayaran secara dalam talian yang lebih selamat dan risiko rendah.

“Setakat ini, pembayaran zakat menerusi perkhidmatan digital menunjukkan perkembangan positif dengan pertumbuhan 47 peratus,” katanya.

Berita Harian X