Khamis, 7 November 2019 | 7:06pm
OPPO dan Ericsson meraikan pembukaan makmal penyelidikan 5G. Ketua Rangkaian dan VP, MNEA, Ericsson (kiri) Luca Orsini dan Naib Presiden OPPO dan Presiden Kejuruteraan Perisian, Andy W (kanan).

OPPO bekerjsama dengan Ericsson tubuh makmal penyelidikan 5G

KUALA LUMPUR: Jenama peranti pintar global terkemuka, OPPO mengambil inisiatif menjalinkan usaha sama dengan penyedia teknologi maklumat dan komunikasi terkemuka, Ericsson dengan menubuhkan makmal penyelidikan 5G.

Menerusi penubuhan makmal penyelidikan itu, secara tidak langsung ia berfungsi untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua jenama berkenaan dalam memperluaskan lagi mengenai era teknologi 5G.

Naib Presiden OPPO, Andy Wu berkata, pihaknya sangat teruja dengan pelancaran makmal penyelidikan 5G bersama Ericsson yang mana menerusi inisiatif itu, ia dapat memberi manfaat dan kelebihan kepada Ericsson dalam teknologi rangkaian serta infrastruktur 5G dan saluran operator global.

Katanya, ia dapat dijayakan seiring dengan pengalaman dan kepakaran OPPO dalam pembangunan standard, teknologi, produk dan senario aplikasi 5G.

“Secara tidak langsung, OPPO dan Ericsson akan turut mempromosikan kerjasama ini secara global, berkongsi antara satu sama lain mengenai teknologi 5G dan membantu mengoptimumkan produk 5G dan prestasi rangkaian untuk mempercepatkan penggunaan 5G secara besar-besaran sehingga peringkat global.

“Kami akan bekerjasama untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan peluang ke hadapan dalam era 5G untuk memastikan dapat menyediakan produk serta pengalaman 5G lebih baik untuk pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Rangkaian Kawasan Pasifik Asia Timur Ericsson, Luca Orsini, berkata kerjasama ini penting untuk Ericsson dan OPPO kerana ia akan menyumbang kepada kepelbagaian dalam ekosistem 5G dan manfaat daripada ketangkasan yang dilakukan oleh kedua-dua syarikat ini.

“Dalam pada itu, ia juga akan memberi nilai pasaran kepada pengguna yang akan mendapatkan perkhidmatan 5G ini,” katanya.

OPPO dan Ericsson bekerjasama dalam menyumbang kepada evolusi teknologi 5G serta turut menandatangani perjanjian lesen paten global sebagai asas yang kukuh dalam berdepan era 5G.

Sejak suku tahun pertama 2018, dua rakan kerjasama ini sudah menjalankan ujian mengenai 5G pada telefon 5G OPPO dan infrastruktur 5G Ericsson dengan rakan pengendali tempatan di Sweden, Jerman dan China.

Pada MWC 2019 awal tahun ini, OPPO dan Ericsson juga bekerjasama dalam pertunjukan telefon pintar 5G.

OPPO berada di barisan hadapan untuk pembangunan dan perkenalan telefon pintar 5G. Pada bulan Mei 2019, OPPO melancarkan model Reno 5G yang inovatif di Switzerland, menjadikannya telefon 5G pertama yang dijual secara komersil di Eropah.

Peranti ini sudah diperkenalkan di United Kingdom, Australia, Itali dan pasaran lain di seluruh dunia, OPPO juga akan melancarkan telefon pintar 5G dual-mode berkuasa Qualcomm yang pertama di dunia menjelang akhir tahun ini, menawarkan pengalaman 5G lebih baik dan mantap kepada pengguna global.

Dalam era perhubungan pintar 5G ini, OPPO akan terus melabur dalam pembangunan produk, penyelidikan teknologi, piawaian dan senario aplikasi 5G dan bekerjasama dengan rakan-rakan terkemuka seperti Ericsson untuk meneroka potensi 5G yang besar serta membawa nilai inovasinya kepada pengguna sekitar dunia.

Berita Harian X