Isnin, 4 November 2019 | 5:58pm
PENGARAH Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Paynet Group, Peter Schiesser menunjukkan aplikasi GrabPay yang mengguna pakai DuitNow QR.

GrabPay e-dompet pertama guna DuitNow QR

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia (PayNet) dan Grab mengumumkan kerjasama penting untuk menjadikan GrabPay sebagai e-dompet pertama yang mengguna pakai DuitNow QR, standard nasional QR di Malaysia.

DuitNow QR diwujudkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberi mandat kepada PayNet, sebagai penyedia infrastruktur pembayaran dikongsi bersama negara, untuk melaksanakan standard QR yang sama dan saling boleh kendali bagi Malaysia.

Susulan penyertaan Grab dalam skim DuitNow, ia akan mempertingkatkan aplikasi Grab dengan sokongan DuitNow QR pada separuh pertama 2020.

“Kami gembira untuk menjadi e-dompet pertama yang mengguna pakai DuitNow QR. Berlandaskan kerjasama ini, kami yakin ia akan mendorong GrabPay untuk terus menyediakan kaedah pembayaran yang lancar dan selamat untuk pelanggan dan peniaga,” kata Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng, dalam kenyataan.

Beliau berkata, DuitNow QR boleh saling kendali dan memudahkan pengguna selain peniaga dapat mengutip pembayaran secara selamat pada kos yang lebih efektif.

“Strategi kami sentiasa menjurus sebagai komuniti tempatan. Kerjasama dengan PayNet adalah satu lagi contoh pendekatan kami yang menumpukan pelanggan untuk mengembangkan masyarakat tanpa penggunaan tunai Malaysia memandangkan langkah itu menjadikannya lebih berpatutan dan mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Paynet Group, Peter Schiesser berkata pada masa ini, penyedia e-dompet menanggung kos pembelian yang besar bagi peniaga kerana masing-masing mempunyai lingkungan peniaga yang sama bagi rangkaian proprietari masing-masing.

“Dengan DuitNow QR, peniaga perlu mendaftar dengan hanya satu bank atau pemeroleh e-dompet untuk membolehkan pelanggan semua bank yang menyertai dan e-dompet membuat pembayaran DuitNow QR kepada peniaga dengan hanya menggunakan aplikasi mudah alih masing-masing,” katanya.

Empat bank sudah menawarkan DuitNow QR dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka dan 25 bank lagi dijangka mula menawarkan DuitNow QR dalam tempoh enam bulan akan datang.

DuitNow QR adalah lanjutan daripada perkhidmatan DuitNow yang dilancarkan pada Disember 2018, yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang dengan serta-merta dan selamat pada 24 jam sehari tujuh hari seminggu menerusi Internet atau saluran perbankan mudah alih.

Berita Harian X