Khamis, 31 Oktober 2019 | 7:06pm
Pelancaran pencetak Inkjet Bisnes A3 oleh Canon Marketing Malaysia di Kuala Lumpur. NSTP/Rosdan Wahid

Canon perkenal pencetak baharu untuk segmen PKS

KUALA LUMPUR: Canon Marketing Malaysia (Canon Malaysia) melancarkan rangkaian pencetak Inkjet Bisnes A3 yang disasarkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Canon Malaysia, Andrew Koh berkata, pencetak ‘inkjet’ kelas perniagaan baharu itu didatangkan dengan dua model iaitu WG7740 dan WG7750F.

Katanya, kedua-dua model berkenaan boleh mencetak sehingga 80 halaman setiam minit serta menghasilkan output berkualiti tinggi pada kertas kosong dengan ciri kalis air yang tinggi.

“Ciri yang ditawarkan itu membolehkan perniagaan menikmati prestasi dan produktiviti yang lebih tinggi di samping menjamin kos cetak yang lebih rendah.

“Selain itu, kos pemilikan pencetak baharu ini juga lebih rendah iaitu bermula daripada RM500 sebulan,” katanya pada majlis pelancaran pencetak berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kanan Pusat Penyelesaian Pengimejan Perniagaan Canon Malaysia, Masato Yoshiie.

Rangkaian pencetak berkenaan memerlukan penggunaan kuasa yang rendah semasa salinan, cetakan atau mod siap sedia dan ia berbeza dengan teknologi percetakan laser atau LED yang memerlukan pemanasan elemen ‘fuser’.

Canon adalah peneraju global dalam bidang fotografi dan penyelesaian pengimejan digital.

Sementara itu, Yoshiie berkata, rangkaian pencetak baharu itu adalah paling sesuai untuk syarikat dan organisasi yang menginginkan keupayaan cetak bagi menyokong pelbagai aliran kerja yang sibuk.

“Pencetak itu direka khas untuk PKS berdasarkan teknologi ‘inkjet’ yang menakjubkan.

“Ia mampu memaksimumkan keberkesanan tugasan dan produktiviti di samping mengurangkan keperluan penyelenggaraan seterusnya mengurangkan jumlah kos pemilikan bagi tenaga kerja dengan menjamin keberkesanan penggunaan sumber,” katanya.

Berita Harian X