Rabu, 30 Oktober 2019 | 1:18pm
Huawei Technologies menguasai 42 peratus pasaran telefon pintar China. - Foto fail Reuters

Huawei kukuh penguasaan pasaran telefon pintar di China

SHENZEN: Huawei Technologies menguasai 42 peratus pasaran telefon pintar China, dengan jualan pada suku ketiga meningkat sebanyak dua pertiga apabila pengguna menyokong syarikat itu selepas dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), menurut data yang dikeluarkan hari ini.

Huawei mengukuhkan dominasinya dalam pasaran telefon pintar terbesar dunia itu, walaupun Mei lalu ia disekat oleh AS daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat negara berkenaan, yang sekali gus mengganggu dengan ketara sekali kemampuannya menyumber peralatan penting.

Pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia itu diberikan penangguhan sehingga November.

Bagaimanapun, promosi dan pembelian patriotik meningkatkan jualan telefon pintar Huawei di China, lebih daripada membantunya mengimbangi penurunan penjualan dalam pasaran global.

Meskipun pasaran telefon pintar China menguncup sebanyak tiga peratus pada suku ketiga berbanding setahun sebelumnya, telefon pintar Huawei merangkumi 41.5 juta daripada 97.8 juta yang dijual dalam tempoh itu, menurut data daripada firma penyelidikan pasaran Canalys.

“Huawei membuka jurang besar antaranya dengan vendor lain,” kata Naib Presiden Mobiliti Canalys, Nicole Peng.

“Kedudukan dominan memberikan Huawei kuasa yang besar untuk menguruskan rantaian bekalan dan meningkatkan penguasaannya dalam saluran rakan perniagaan.”

Pertumbuhan Huawei memberi kesan kepada pesaingnya seperti Oppo, Vivo, Xiaomi dan Apple, yang secara terkumpul menguasai 50 peratus pasaran pada suku ketiga, susut berbanding 64 peratus setahun lalu.

Jualan suku ketiga juga adalah prestasi sukuan paling lemah Apple di China dalam tempoh lima tahun, kata Peng.

Namun, beliau menambah bahawa Apple mendapat sokongan daripada pelancaran iPhone 11 pada September, dengan pengguna sanggup menunggu sehingga dua ke tiga minggu untuk menerima penghantaran model baharu itu.

Huawei minggu lalu berkata, ia menjual lebih daripada 200 juta telefon di seluruh dunia pada 2019, 64 hari lebih awal berbanding 2018.

Keuntungan syarikat itu kekal berdaya tahan di sebalik tekanan daripada AS, dengan pendapatan melonjak 27 peratus pada suku ketiga.

Versi utama Mate 30 Pro 4G, yang ditampilkan pada September bukan faktor besar kejayaan suku ketiga syarikat itu, kata Canalys, kerana pengguna menunggu versi 5G yang akan dilancarkan akhir tahun ini. - Reuters

Berita Harian X