Khamis, 17 Oktober 2019 | 4:27pm

Sedia lancar penyelesaian pintar berasaskan 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi TM ONE dan TM R&D bersedia melancarkan penyelesaian pintar berasaskan 5G bagi mempertingkatkan kehidupan rakyat Malaysia.

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan penyelesaian pintar berasaskan 5G TM yang terbukti dan diuji untuk dipamerkan di Subang Jaya dan Langkawi adalah bukti komitmennya ke arah menginsankan teknologi bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Dengan semangat untuk membangunkan negara dan menawarkan perkhidmatan kesalinghubungan yang lebih banyak kepada rakyat, TM yang menjadi pemacu negara digital yang menyokong sepenuhnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam Projek Demonstrasi 5G Malaysia yang akan datang,” katanya.

TM akan mempamerkan kes penggunaan 5G di SS15, Subang Jaya, dan Langkawi dengan kerjasama majlis perbandaran tempatan serta rakan kerjasama yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, berkata, selaku penyedia komunikasi negara, TM mewujudkan teras komunikasi di Malaysia dengan sambungan dan rangkaian konvergens lebih luas.

“Dengan rangkaian fiber yang meliputi 560,000 kilometer (km) di seluruh negara, termasuklah 77 peratus liputan mudah alih, TM berada dalam kedudukan yang tepat untuk memperkasakan Negara Digital.

“Kami mempunyai kepakaran dan pengalaman yang diperlukan untuk memacu aspirasi kerajaan ke arah membina asas Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan pelancaran 5G ke seluruh negara,” katanya.

TM bakal mempamerkan sejumlah 21 dari 55 kes penggunaan 5G merentasi pelbagai vertikal, seperti mana yang diumumkan oleh Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, baru-baru ini.

Projek Demonstrasi 5G Malaysia itu adalah inisiatif oleh SKMM untuk membantu, membina dan mengembangkan pembangunan kes penggunaan 5G berpotensi di dalam persekitaran sebenar yang terkawal dan memperkembangkan ekosistem 5G di Malaysia menerusi vertikal yang dikenalpasti.

Daripada 21 kes kegunaan itu, tujuh akan dilaksanakan di SS15, Subang Jaya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ), manakala 14 kes kegunaan akan dipasang di Langkawi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan pulau berkenaan, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP).

Kes penggunaan yang akan dilaksanakan oleh TM meliputi Analitik Data Raya, kluster Bandar Pintar, Pelancongan Pintar dan Pertanian Pintar, dengan memberi tumpuan kepada menjadikan hidup lebih mudah, memenuhi keperluan dan memperkayakan kehidupan Rakyat.

“Dalam tempoh percubaannya, TM akan menawarkan peluang kepada penduduk di sekitar Subang Jaya dan Langkawi untuk menyaksikan dan mengalami sendiri pengalaman serta manfaat teknologi 5G dan bagaimana teknologi itu berevolusi serta memberi kesan positif kepada kehidupan mereka,” kata kenyataan itu.

Berita Harian X