Rabu, 16 Oktober 2019 | 10:24am
Telefon pintar Google Pixel 4 baharu dipaparkan semasa acara pelancaran Google di New York City, New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Google perkenal telefon pintar Pixel 4 teknologi radar

NEW YORK: Google memperkenalkan telefon pintar Pixel baharu dengan menampilkan kamera berkualiti tinggi, penderia radar bagi mengesan gerak tangan dan bantu maya lebih pantas.

Telefon Pixel 4, dalam dua saiz, menjadi tumpuan pada taklimat media di New York di mana Google juga mengumumkan komputer riba harga berpatutan pertamanya, ‘earbud’ tanpa wayar, router Wifi dan pembesar suara pintar yang di naik taraf.

Pixel generasi keempat itu dijual pada harga bermula AS$799 bagi paparan 5.7 inci (14.5 cm) dan AS$899 untuk paparan 6.3 inci, dan buat kali pertama kesemua empat syarikat telekomunikasi tanpa wayar utama Amerika Syarikat (AS) akan menawarkan telefon pintar itu mulai 24 Oktober.

Ciri baharu pada peranti itu adalah berdasarkan teknologi radar membolehkan pengguna melangkau lagu atau mengeluarkan arahan lain dengan melambai tangan di atas skrin.

Komputer riba Pixelbook Go, bermula pada harga AS$649, menampilkan panel bawah bertekstur bertujuan memudahkan cengkaman dengan satu tangan ketika bekerja dalam transit, kata etua reka bentuk perkakasan Google, Ivy Ross, pada majlis mengumumkan produk terbaharu itu di New York.

Google mula membangunkan perantinya sendiri kira-kira empat tahun lalu, dengan pertimbangan bahawa ia dapat memperkenalkan kecerdasan buatan (AI) ke dalam peranti yang lebih pantas dan lebih baik daripada pesaing dan pengguna akan tertarik kepada ciri-ciri itu.

Strategi itu menghasilkan mendapat maklum balas bercampur-campur. Tetapi syarikat carian terbesar di dunia itu terus maju ke hadapan, tidak mahu menyerah kalah kepada Amazon.com Inc, Facebook Inc dan pesaing lain yang melabur dalam peranti bagi memastikan pengguna menghabiskan lebih banyak masa menggunakan perkhidmatan mereka.

Pembesar suara pintarnya dan router Wifi popular di beberapa negara, tetapi telefon pintar dan komputer ribanya kurang popular berbanding peneraju industri seperti Samsung Electronics Co dan Apple Inc. - Reuters

Berita Harian X