Isnin, 14 Oktober 2019 | 3:49pm
KAPTEN Dr Zulfikar Zulkifli (tiga dari kiri) dan Presiden Pertandingan Create@Alibaba Cloud Startup, Teo Kok Ann (tiga dari kanan) melancarkan pertandingan itu di Bangi. NSTP/Salhani Ibrahim.

Syarikat Malaysia berpeluang tembusi ekosistem Alibaba

BANGI: Pertandingan Create@Alibaba Cloud Startup yang dilancarkan oleh Alibaba Group Holding Ltd menawarkan peluang kepada syarikat pemula teknologi Malaysia berhubung dengan rangkaian pemodal teroka, pemimpin perniagaan dan ekosistem Alibaba di China.

Daripada 10 finalis yang dinilai oleh panel tujuh juri antarabangsa, pemenang akan mewakili Malaysia ke kejohanan global di mana syarikat pemula akan bersaing dengan peserta teknologi utama di seluruh dunia.

Finalis terbabit adalah Adev Ventures Sdn Bhd, Ibizzcloud Sdn Bhd, SPBC Consultancy, Hostastay Bhd, Sureplify Sdn Bhd, Gobuilders Netsoft Sdn Bhd, Happy Fish Swim School Sdn Bhd, IO Fitness Management (M) Sdn Bhd, Modencare Sdn Bhd dan Ticket2U.

Pemenang juga berpeluang untuk memanfaatkan Pusat Inovasi Alibaba, di mana mereka boleh menggunakan sumber ekologi untuk pembangunan perusahaan dengan perkomputeran awan Alibaba, bagi membolehkan inkubasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi digital.

Acara itu dianjurkan oleh IHZ International dengan kerjasama

HuaZong Multimedia and Information Committee.

Majlis pelancaran pertandingan itu dirasmikan oleh Kapten (Dr) Zulfikar Zulkifli, wakil Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Ketua Koordinator Create@Alibaba, Kim Tan, berkata syarikat pemula dalam pertandingan itu dipilih bagi menyertai pertandingan yang amat kompetitif itu.

“Mereka akan membuat pembentangan di depan kumpulan pemodal teroka dan pemimpin teknologi yang bertindak sebagai juri, untuk berpeluang berhubung dengan pemimpin perniagaan serta pemodal teroka di Eropah dan China.

“Pemenang juga akan ditaja ke ibu pejabat Alibaba di Hangzhou dan memperoleh pendedahan media antarabangsa, di samping memenangi sumber bernilai sehingga AS$50,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Create@Contest adalah platform terbaik syarikat pemula teknologi Malaysia menyerlahkan potensi mereka dan menarik perhatian global, khususnya daripada pelabur yang berminat.

Peserta juga akan mendapat akses kepada ekosistem Alibaba bagi membantu mereka mendapatkan pandangan, pengalaman dan sumber yang bernilai untuk mengembangkan perniagaan.

Berita Harian X