Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:13pm
PENGASAS Bersama dan Presiden Stripe, John Collison bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming pada pelancaran operasi Stripe di Malaysia.

Stripe lancar operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Stripe, syarikat teknologi dari San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang membina prasarana bagi membolehkan individu dan perniagaan membuat dan menerima pembayaran di Internet, dilancarkan di Malaysia.

Syarikat yang bernilai AS$35 billion itu dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk menyediakan pertukaran proses kewangan (FPX) kepada perniagaan di negara ini.

Menurut syarikat itu, walaupun pengguna Internet negara ini adalah antara 10 pengguna Internet tertinggi di dunia, ia hanya mewakili kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pengasas Bersama dan Presiden Stripe, John Collison, berkata matlamat syarikat itu adalah untuk menghapuskan halangan dalam memindahkan wang di Internet dan membangunkan prasarana yang menyokong keperluan perniagaan.

Antara lainnya, Stripe membolehkan perniagaan menerima pembayaran dalam lebih 135 mata wang dan menerusi kaedah pembayaran seperti FPX dan kad kredit.

Selain menerima pembayaran, syarikat juga boleh menggunakan Stripe untuk membina model perniagaan baharu seperti pasaran, pendanaan awam dan langganan, mengendalikan perakaunan dan memaksimumkan pengalaman semakan bagi peranti mudah alih - semuanya daripada satu papan pemuka berpusat.

“Stripe Radar, alat pengesan dan pencegahan penipuan syarikat itu memanfaatkan algoritma lanjutan dan mesin untuk aktif melindungi perniagaan daripada penipuan.

“Ini khususnya berguna bagi perniagaan yang beroperasi di peringkat antarabangsa kerana pola dan ancaman penipuan berbeza dari sebuah negara ke negara yang lain,” kata syarikat itu.

Stripe berkata, ia telah menguji perkhidmatannya di Malaysia sejak Januari tahun ini.

Malaysia menandakan satu lagi kejayaan dalam pengembangan global Stripe, susulan pelancaran syarikat itu di Estonia, Greece, Latvia, Lithuania, Poland, Portugal, Slovakia dan Slovenia awal tahun ini.

Stripe memproses beratu-ratus bilion dolar setahun bagi berjuta-juta perniagaan di seluruh dunia.

Syarikat pemula niaga baharu hingga syarikat senaraian awam seperti Salesforce dan Facebook menggunakan perisian Stripe untuk menerima pembayaran dalam talian dan menjalankan perniagaan mereka.

-BERNAMA

Berita Harian X