Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:52pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Group Bhd, Eddie Ng Chee Siong (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong (kanan) pada majlis jalinan kerjasama antara TNG Digital dan Revenue. NSTP/Mahzir Mat Isa

TNG Digital sasar kuasai pasaran e-dompet Malaysia

KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) berada dalam landasan tepat untuk menembusi 70 peratus pasaran e-dompet di negara ini menggunakan Touch ‘n Go eWallet menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, Touch ‘n Go eWallet kini menjadi semakin penting, malah boleh digunakan untuk pelbagai transaksi.

Katanya, Touch ‘n Go eWallet bukan hanya untuk pembayaran tol, malah menawarkan pilihan gaya hidup yang lebih meluas untuk pembelian tiket wayang, pembelian runcit, makanan dan minuman serta hiburan

“Kami optimis bahawa pengguna akan menikmati saluran pembayaran baharu ini dan menjangkakan pengggunaannya akan diterima dengan baik.

“Sehingga kini, Touch ‘n Go eWallet memiliki lebih lima juta pengguna berdaftar dan lebih 80,000 rakan dagang di seluruh negara,” katanya kepada media pada majlis jalinan kerjasama antara TNG Digital dan Revenue Group Bhd (Revenue) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Revenue, Eddie Ng Chee Siong.

Kerjasama membolehkan pengguna Touch ‘n Go eWallet untuk membeli-belah di Taobao dan Tmall dan melakukan pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet pada platform dompet revPAY milik Revenue.

Ong berkata, sebagai aplikasi di dalam e-dompet Touch ‘n Go, pihaknya mahu terus menjadi penyedia kepada pasaran tanpa tunai serta memperkasa ekosistem pembayaran digital yang cergas dan selamat.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu juga pihaknya menyasarkan peningkatan 10 kali ganda jumlah transaksi Touch ‘n Go eWallet.

“Sejak Touch ‘n Go eWallet diperkenalkan pada 9 September sehingga kini, kami telah menerima sebanyak 1,000 transaksi dengan nilai RM100,000.

“Selain itu, bermula 5 hingga 15 Oktober ini, pengguna Touch ‘n Go eWallet berpeluang menikmati pulangan tunai RM10 bagi transaksi bernilai RM100,” katanya.

Berita Harian X