Rabu, 25 September 2019 | 1:37pm
SIRI HUAWEI Mate30 tampil dengan sistem operasi sendiri, HUAWEI Mobile Services (HMS) disertai pelancar EMUI 10 sebagai pengganti Google Mobile Service (GMS).

Huawei perkenal HMS ganti GMS

MUNICH, JERMAN: Huawei yang baru memperkenalkan siri telefon pintarnya, Mate 30 minggu lalu kini tampil dengan sistem operasi sendiri, Huawei Mobile Services (HMS) disertai pelancar EMUI 10 sebagai pengganti Google Mobile Service (GMS).

Keputusan itu susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, apabila Google mengesahkan Huawei tidak akan memiliki sebarang aplikasi berlesen Google bagi pengenalan siri telefon pintarnya selepas ini.

Syarikat gergasi telekomunikasi China itu tampak yakin dengan HMS dan mereka kini menawarkan sehingga AS$1 bilion (RM4.18 bilion) dalam bentuk insentif kepada pembangun perisian untuk mencipta aplikasi bagi kegunaan perantinya, dimuatkan dalam App Gallery, yang menggantikan App Store.

Naib Presiden Perkhidmatan Mudah Alih Pengguna, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Jervis Su, berkata seperti siri Mate 30, pengenalan telefon pintar mereka selepas ini juga dilancarkan tanpa GMS.

Namun, beliau memberi keyakinan dengan pendedahan persekitaan baru HMS, pengguna tidak akan merasai perbezaan ketara, dengan aplikasi pilihan masih boleh dimuat naik di perantinya.

"Huawei berada dalam kedudukan untuk memberikan perkakasan yang luar biasa. Kami percaya dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan itu adalah perkara utama bagi kami.

"Siri Mate 30 melalui situasi baharu yang belum pernah kita alami sebelum ini," katanya dalam satu sesi temubual bersama sekumpulan media antarabangsa di sini, baru-baru ini.

Su juga berkata, HMS akan menjalankan fungsinya sama seperti GMS.

"Adakah keadaan akan berubah pada masa depan? Ini mungkin soalan untuk Presiden (Donald) Trump," katanya ketika ditanya sama ada pengenalan HMS bakal menggugat GMS.

Su berkata, ketika ini terdapat satu juta pembangun perisian berdaftar untuk HMS, yang boleh menampung 570 juta pemilik telefon pintar Huawei aktif di 170 negara.


MEDIA antarabangsa yang dijemput pada pelancaran siri HUAWEI Mate30 di Munich, Jerman, minggu lalu.

"Kami perlu bekerjasama dengan rakan kongsi kami. HMS adalah platform, rakan kongsi akan menyediakannya untuk pengguna. Permintaan pengguna akan menentukan aplikasi mana yang akan tersedia di App Gallery.

"Daripada satu juta aplikasi ditawarkan dalam App Gallery, 10,000 dianggap 'yang selalu menjadi pilihan'. Mengenai muat turun aplikasi, pengguna juga boleh mencari cara lain untuk memuat turun aplikasi, contohnya, dari laman web," katanya.

Su berkata, menerusi App Gallery, pengguna boleh memuat turun aplikasi pihak ketiga yang mempunyai 390 juta pengguna aktif bulanan.

Terdapat puluhan juta pengguna untuk aplikasi proprietary, 200 juta untuk Browser, 160 juta untuk Cloud, 160 juta untuk muzik, 140 juta untuk Assistant, 130 juta untuk video dan 70 juta untuk themes.

Selain dilengkapi sistem operasi baharu, siri pengenalan Mate 30 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu baru-baru ini menyaksikan telefon pintar itu menjanjikan pengalaman menakjubkan khususnya dalam penghasilan gambar dan video berkualiti tinggi.

Peranti itu menyediakan empat kamera modul dengan rekaan bulat terdiri dairpada kamera utama 40MP ultra lebar (f/1.8) dan 40MP SuperSensing Wide (f/1.6) bersama 8MP telefoto (f/2.4) OIS dan TOF sensor.

Ia juga dilengkapi sistem dwi kamera, SuperSensing Cine Camera, dengan kamera pertama memiliki sensor cahaya bersaiz 1/1.54 inci dengan tetapan ISO tertinggi 512,000 untuk merakam video dengan sokongan HDR dan gerak perlahan 7680fps.

Kamera kedua pula miliki sensor bersaiz 1/1.7 inci Huawei SuperSensing untuk mengambil gambar dalam cahaya kurang dengan tetapan tertinggi ISO 409,600, sementara kamera telefoto 8MP hadir dengan keupayaan 3X zoom optikal, 5X zoom hibrid dan mampu zoom sehingga 30X secara digital.

Model Mate 30 turut dilengkapi dengan tetapan 16MP ultra lebar (f/2.2), 40MP SuperSensing Wide (f/1.8), 8MP telefoto (f/2.4) OIS dan Laser Focus.


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna HUAWEI, Richard Yu ketika memperkenalkan siri terbaharu Mate30, di Munich, Jerman, minggu lalu.

Berita Harian X