Khamis, 19 September 2019 | 11:32pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu ketika memperkenalkan produk telefon pintar terbaharu syarikat itu di Munich, Jerman, hari ini. - Foto EPA

Huawei melancarkan siri Mate 30

MUNICH, Jerman: Pengeluar telefon pintar terkemuka, Huawei, hari ini melancarkan siri Mate 30 yang menampilkan beberapa ciri menepati cita rasa dan gaya hidup segenap segmen.

Siri Mate 30 dilengkapi dengan kapasiti kamera lebih canggih dan sistem perkakasan yang berdaya meningkatkan kecekapannya menerusi cip prosesor Kirin 990, disertakan dengan teknologi 5G.

Peranti terbaru keluaran syarikat telekomunikasi China itu hadir dengan tiga set telefon pintar iaitu Mate 30, Mate 30 Pro dan Mate 30 Porsche Design.

Harga ditawarkan bagi model Mate 30 dengan jumlah storan 128GB adalah 799 euro (RM3,700), sementara Mate 30 Pro, dijual pada harga 1,099 euro (RM5,090), dengan kapasiti storan 256GB.

Sementara itu, Mate 30 Pro 5G pula berharga 1,199 euro (RM5,554) dengan jumlah storan 256GB, manakala Mate 30 Porsche Design, 2095 euro (RM9,703), dengan kapasiti storan 512GB.

Mate 30 bersaiz 168 milimeter (mm) tinggi dan 7.61 mm lebar, sementara Mate 30 Pro, 166 mm tinggi dan 73.1 mm lebar, menjadikan ia lebih mudah untuk dipegang.


HUAWEI Mate 30 Pro.

HUAWEI Mate 30.

Menariknya dalam pengenalan siri Mate 30, tiada butang khusus di kiri dan kanan yang mengawal nada pembesar suara dan kamera, sebaliknya penampilan baharu ini sepenuhnya menggunakan sentuhan.

Enam variasi warna ditampilkan untuk Mate 30 dan Mate 30 Pro iaitu ‘forest green’ dan oren (panel belakang berkulit) serta ‘space silver’, ‘emerald green’, ‘cosmic purple’ dan hitam.

Siri Mate 30 dan Mate 30 Pro juga tampil dengan rekaan kamera berbentuk bulat di bahagian belakang yang mengandungi empat kamera.

Sementara itu, telefon pintar Mate 30 Porsche Design didatangkan khas dengan rekaan serba mewah yang boleh dilihat pada panel belakang kulitnya, menawarkan dua variasi warna iaitu merah dan hitam.

Paparan skrin Mate 30 Porsche Design juga berkonsepkan ‘waterfall’ dengan reka bentuk antaramukanya bertemakan Porsche berwarna merah.

Kesemua varian ini menggunakan kapasiti bateri 4,200 mAh bagi Mate 30, sementara kapasiti 4,500 mAh bagi Mate 30 Pro, selain kesemua telefon pintar ini menyokong Huawei SuperCharge.

Turut diperkenalkan syarikat itu hari ini ialah siri jam tangan Huawei GT 2 dan TV, Huawei Vision. 

Majlis pengenalan semua produk berkenaan dilakukan oleh Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu ketika memperkenalkan produk telefon pintar terbaharu syarikat itu di Munich, Jerman, hari ini. - Foto EPA

Berita Harian X