Rabu, 18 September 2019 | 6:22pm
Roy Ong pada majlis pelancaran pelan pasca bayar Celcom Xpax terbaharu, XP Lite. - NSTP/Rohanis Shukri
Roy Ong pada majlis pelancaran pelan pasca bayar Celcom Xpax terbaharu, XP Lite. - NSTP/Rohanis Shukri

Celcom lancar pelan pasca bayar RM28 sebulan

PETALING JAYA: Celcom Axiata Bhd melancarkan pelan pasca bayar Celcom Xpax terbaharu, XP Lite pada harga RM28 sebulan.

Menerusi pelan baharu yang ditawarkan pada harga RM28 sebulan, pengguna bakal menikmati panggilan tanpa had dan internet 1GB dengan pilihan tambahan data internet kepada 14GB pada harga RM30 (pas L) dan 7GB RM10 (pas M) sebulan.

Ketua Pegawai Produk dan Inovasi Celcom Axiata, Roy Ong, berkata XP Lite menawarkan pelanggan pilihan untuk memilih pas penggunaan yang lebih nilai internet serta nikmati ganjaran lebih besar bersama rangkaian 4G LTE terbaik.

“Xpax memperkenalkan pelan inovatif pilih dan campur, yang memberikan internet berkelajuan tinggi tanpa had yang berterusan bersama fleksibiliti akses dan keistimewaan digital tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran pelan pasca bayar Celcom Xpax terbaharu, XP Lite di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi.

Selain data internet yang boleh ditambah, pelanggan yang kekal bersama XP Lite selama enam bulan secara berterusan akan diberi ganjaran percuma internet satu jam ‘Ultra Hour Pass’ tanpa had bagi pelanggan pas L manakala pelanggan pas M menerima 1GB Video Walla.

Ganjaran ini akan diberikan pada bulan ketujuh dan seterusnya.

Selain itu, pelanggan XP Lite pas L juga berpeluang memiliki OPPO A1K secara percuma sementara stok masih ada atau telefon pintar lain seperti nubia Red Magic 3, Vivo Y17, Oppo A5 pada harga serendah RM99.

Pelan pasca bayar terbaharu ini boleh dinikmati bermula esok.

Dalam perkembangan lain, Idham berkata Celcom tidak hanya menumpukan kepada penggabungan semata-mata, sebaliknya lebih fokus terhadap kerjasama dalam kalangan peserta industri telekomunikasi.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan, industri berkenaan semakin berkembang pesat dan mendapat permintaan yang kukuh.

“Apa yang penting di peringkat kami adalah kita fokus kepada kerjasama... Sangat penting bagi kami untuk bekerjasama satu sama lain terhadap bagaimana untuk membina jaringan terbaik dan mengurangkan kos yang perlu supaya dapat berikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan pada harga yang berpatutan.

“Kami bukan hanya melihat kepada aspek penggabungan tetapi pada masa ini apa yang lebih penting adalah melihat kepada kerjasama dalam beberapa aspek supaya kos operasi lebih efektif.

“Jika ada peluang (kerjasama) terpulang kepada pihak berkepentingan untuk memikirkan mengenainya... bagi pihak Celcom, kami hanya fokus kepada bagaimana untuk mengurangkan kos dan menambah nilai rangkaian,” katanya.

Berita Harian X