Khamis, 25 Julai 2019 | 11:56am
Galaxy Fold. - Foto Google

Samsung Galaxy Fold masuk pasaran global pada September

SEOUL: Samsung Electronics Co akan mula memasarkan Galaxy Fold pada September ini, peranti terbarunya yang sebelum ini ditangguhkan beberapa bulan selepas penguji-penguji melaporkan terdapat kecacatan pada skrin fleksibelnya.

Pengeluar telefon pintar terbesar dunia itu ketika ini sedang melaksanakan ujian akhir selepas menjalankan beberapa pengubahsuaian pada peranti berkenaan, dan menyatakan dalam satu hantaran secara dalam talian bahawa ia akan melancarkannya di beberapa pasaran terpilih.

Samsung membatalkan pelancaran peranti AS$1,980 (RM8,147.56) pada 26 April selepas terdapat masalah pada paparan boleh lipat pada model-model ujian.

Telefon pintar boleh lipat yang dipasarkan secara besar-besaran di seluruh dunia adalah pencapaian tertinggi bagi syarikat berkenaan dan simbol kehebatan teknologinya.

Namun begitu beberapa model yang dibangunkannya mengalami masalah selepas beberapa hari digunakan.


Galaxy Fold. - Foto Google

Unit ujian yang diberikan kepada Bloomberg juga gagal berfungsi sempurna selepas lapisan plastik yang menutup skrin dibuka, sedikit kesan koyak didapati pada bahagian atas ensel pada pembuka gajet berkenaan.

Penangguhan, selepas beberapa tahun dibangunkan, adalah agak mengecewakan bagi syarikat yang mempertaruhkan inovasi terbarunya untuk ia kekal mendominasi pasaran dan terus kukuh dalam pasaran telefon pintar yang kini kurang stabil.


Galaxy Fold. - Foto Google

Syarikat yang berpangkalan di Suwon itu bagaimanapun seboleh-bolehnya mahu mengelak insiden 2016 yang mana ia terpaksa memanggil semula Note 7, telefon pintar premium yang didapati berpotensi meletup dan terbakar.

Samgsung sejak itu cuba memperbaiki Galaxy Fold, mengubahsuai lapisan perlindungan yang membalut keseluruhan skrin hingga ke bahagian luar, menjadikannya mustahil untuk dikupas dengan tangan, lapor Bloomberg News.

Ia juga mereka semula ensel, mengubah sedikit ke atas dari skrin untuk membantu meregangkan lagi lapisan apabila telefon dibuka. Samsung mengesahkan pengubahsuaian paparan peranti berkenaan dalam hantaran di laman web. - Bloomberg


Galaxy Fold. - Foto Google

Berita Harian X