Rabu, 3 Julai 2019 | 5:21pm
PENGARAH Negara Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Bill Liu. - Foto Rosela Ismail
PENGARAH Negara Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Bill Liu. - Foto Rosela Ismail

Malaysia pasaran serantau utama teknologi 5G Huawei

KUALA LUMPUR: Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) bersedia untuk menyediakan kemudahan 5G di Malaysia, yang ketika ini sedang membangunkan teknologi itu.

Pengarah Negara Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Bill Liu, berkata gergasi teknologi dunia itu percaya bahawa negara ini berada dalam landasan tepat membangunkan teknologi 5G.

“Malaysia sedang membangunkan teknologi rangkaian 5G dengan lancar dan ia akan menjadi antara negara pertama mempunyai rangkaian infrastruktur 5G di rantau ini.

“Dengan adanya kerjasama antara Huawei dan kerajaan, ia akan membolehkan teknologi dan produk 5G dimanfaatkan sepenuhnya dalam pelbagai sektor serta industri di Malaysia,” katanya dalam temubual bersama BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai teknologi rangkaian 5G dan adakah Malaysia sudah bersedia untuk mengguna pakai teknologi itu.

Dalam pada itu, Liu berkata Huawei Malaysia komited untuk terus menjadikan negara ini sebagai antara pasaran utamanya di rantau ini, khususnya dalam segmen pengguna.

Katanya, segmen pengguna menjadi peneraju utama pasarannya di negara ini dan sebarang konflik yang terjadi tidak akan menjejaskan segmen penggunannya.

Beliau berkata, Huawei sentiasa menumpukan kepada pelanggannya yang menjadi teras utama firma China itu bagi memberikan produk dan perkhidmatan terbaik.

Lantaran itu, katanya Huawei terus mendapat tumpuan daripada pengguna serta kerajaan yang menyatakan sokongan kepada teknologi syarikat terbabit di negara ini.

“Huawei terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna dan bakal membawa masuk lebih banyak produk inovasi dan perkhidmatan terbaik kepada pengguna di Malaysia.

“Selain itu kami juga akan meningkatkan pelaburan dalam kebajikan sosial dan latihan kakitangan. Kami berusaha untuk meningkatkan lagi saluran terbuka untuk berkomunikasi dengan pengguna dan memahami keperluan mereka. Dengan itu kita dapat meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

“Malah Huawei turut menjalankan pelaburan dalam pendidikan di universiti tempatan dalam memberikan lebih banyak teknologi serta perkongsian yang akan membantu pembangunan teknologi negara pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X