Selasa, 2 Julai 2019 | 5:29pm

Huawei dapat sokongan rakan perniagaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Krisis yang dihadapi Huawei tidak menjadikan jenama itu terus menerima kesan negatif, sebaliknya mendapat sokongan rakan perniagaannya di Malaysia.

Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) berkata, pihaknya terus mendapat sokongan daripada rakan perniagaannya di negara ini seperti Senheng, Courts Malaysia dan Shopee yang secara tersendiri melancarkan Program Perlindungan Aplikasi bermula 1 Julai hingga 30 September 2019.

Program itu membolehkan pelanggan memperoleh semula bayaran balik sepenuhnya jika aplikasi Google tidak dapat berfungsi pada peranti Huawei mereka.

“Walaupun kempen atas inisiatif mereka sendiri, objektifnya tetap sama, menjaga segmen pengguna dan memberikan keyakinan kepada pengguna kami.

“Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi teras utama Huawei dan tidak menghairankan rakan perniagaan kami turut berkongsi nilai ini dengan membawa lebih banyak ganjaran dan faedah kepada pengguna mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Huawei mengumumkan ganjaran jaminan dua tahun dan harga baharu kepada model utamanya iaitu Huawei P30 Series dan nova 3i.

Kempen yang bermula dari 1 Julai hingga 30 September 2019 itu membolehkan pengguna menikmati jaminan tahunan tambahan pada peranti Huawei terpilih melalui penebusan di aplikasi HiCare.

Sementara itu, Huawei turut mengumumkan harga baharu untuk beberapa model telefon pintarnya termasuk siri P30.

Bermula pada 1 Julai 2019, Huawei P30 Pro bagi variasi 8GB + 256GB, Huawei P30 dan Huawei nova 3i masing-masing dijual pada harga RM3,399, RM2,299 dan RM799.

Berita Harian X