Isnin, 27 Mei 2019 | 4:22pm
OPPO Reno standard (kiri) dan OPPO Reno 10x Zum dilancarkan hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

OPPO Reno 10x Zum era baharu fotografi telefon

KUALA LUMPUR: OPPO, gergasi telefon pintar dari China melancarkan peranti revolusinya, Reno 10x Zum bagi pasaran tempatan khusus untuk peminat fotografi.

Pengarah Jenama OPPO Malaysia, Nikki Chen, berkata OPPO Reno 10x Zum direka untuk pengguna yang mementingkan perspektif berbeza dengan melangkaui imaginasi menerusi ciri 10x zum hibrid dan 60x zum digital yang mewakili kreativiti Reno dalam pengimejan teknologi.

“OPPO Reno 10x Zum dilengkapi dengan tri lensa kamera belakang panjang fokus penuh termasuk lensa utama 48MP, lensa telefoto 13MP dan lensa ultra-lebar 8MP.

“Peranti ini juga menawarkan ruang lebih besar untuk interaksi visual, fotografi, hiburan dan pengalaman sosial, memberikan kebebasan penuh terhadap kreativiti setiap individu.

“Dengan fungsi fotografi cahaya rendah, potret artistik, kualiti muzik dan bunyi yang dipertingkatkan, pengecasan pantas dan sistem pengoptimuman tahap tinggi, OPPO Reno 10x Zum membolehkan pengguna menangkap visi artistik dan merealisasikan ke alam realiti dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Siri OPPO Reno di sini, hari ini.

Peranti ini dilengkapi dengan skrin panorama penuh, dengan Reno 10x Zum memberikan paparan skrin OLED 6.6 inci, selain dilengkapi Corning Gorilla Glass generasi keenam, sekali gus meningkatkan ketahanan paparan.

Memiliki reka bentuk yang menawan dengan panel kaca 3D melengkung, memberikan cengkaman yang selesa. Ia didatangkan dengan dua warna eksklusif, Hijau Ocean dan Hitam Jet, dengan memaparkan tekstur matte di bawah panel kaca belakang.

Bagi memastikan kualiti fotografi zum jarak jauh, Reno 10x Zum juga menggunakan reka bentuk dual OIS dalam lensa utama dan lensa telefotonya bagi mengurangkan getaran peranti.

Ia dilengkapi dengan sensor Sony 48MP IMX586, menjadikannya mudah untuk mengambil gambar pada waktu malam. Malah, fungsi terbaharu Mod Malam Ultra 2.0 meningkatkan lagi kejelasan dan kecerahan imej menerusi pengurangan bunyi komposit pelbagai bingkai dan teknologi HDR pelbagai bingkai.

Selain itu, Reno 10x Zum juga menawarkan rakaman video 4K UHD pada 60fps, lengkap dengan penstabilan imek optikal dan elektronik.

Peranti ini dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 855, simpanan 8GB+256GB dan dikuasakan bateri 4,065mAh, dengan teknologi pengecasan pantas VOOC 3.0 baharu.

OPPO Reno didatangkan dua variasi iaitu OPPO Reno standard yang dijual pada harga RM1,999 manakala OPPO Reno 10x Zum pada RM3,399.

OPPO Reno standard boleh didapati mulai esok di kedai konsep rasmi OPPO, pengedar sah OPPO dan laman sesawang rasmi OPPO termasuk rakan e-dagang, Lazada dan Shopee serta rakan telco seperti Celcom, Digi dan Maxis.

Bagi Reno 10x Zum, pelanggan boleh membuat tempahan pra-pesanan sehingga 17 Jun. Bagi setiap pra-pesanan, pelanggan menerima hadiah bernilai RM877 yang terdiri daripada Smartphone Gimbal Stabilizer, lanjutan setahun jaminan dan jaminan perlindungan skrin.

Berita Harian X