Jumaat, 24 Mei 2019 | 5:10pm
NAIB Presiden Kanan Frost dan Sullivan dan Pengarah Urusan Malaysia, Hazmi Yusof. - Foto Aziah Azmee

Syarikat telco Malaysia tidak terkesan konflik AS-Huawei

KUALA LUMPUR: Operasi syarikat telekomunikasi (telco) Malaysia mungkin tidak menghadapi gangguan besar meskipun perang teknologi antara Huawei dan Amerika Syarikat (AS) merebak ke negara-negara lain dengan larangan terhadap produk syarikat berkenaan, termasuk telefon pintar memasuki pasaran tertentu.

Naib Presiden Kanan Frost dan Sullivan dan Pengarah Urusan Malaysia, Hazmi Yusof berkata jika Malaysia juga menghentikan penggunaan teknologi Huawei, ia tidak akan menyebabkan gangguan atau bencana.

“Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi yang menggunakan peranti Huawei, tetapi kebanyakannya bergantung kepada lebih daripada satu vendor untuk mengelakkan terlalu bergantung kepada mana-mana pihak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, struktur syarikat telekomunikasi adalah mereka mempunyai langkah kontingensi untuk situasi yang serupa dengannya, yang kebiasaannya digunakan untuk mengimbangi masalah vendor dilantik.

Bagi pelancaran 5G yang menyaksikan beberapa syarikat telekomunikasi telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Huawei untuk memulakan pelaksanaannya, Hazmi berkata Malaysia masih mempunyai jalan yang panjang berdasarkan dasar serta kawal selia ketika ini.

“Jika larangan Huawei beralih ke Malaysia, kita masih mempunyai masa untuk mencari rakan kongsi lain untuk melaksanakan pelancaran 5G. Inilah harapan bagi isu yang semakin bergolak ini,” katanya.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia dijangka mula menggunakan 5G menjelang 2021 atau 2022.

Situasi yang sama berlaku bagi industri yang berada dalam fasa melaksanakan transformasi digital.

“Industri kita masih berada dalam peringkat transformasi digital untuk mempunyai kesan yang perlu diberi perhatian,” kata Hazmi.

Pada awal tahun ini, Maxis Bhd memeterai MoU dengan Huawei untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G di negara ini, manakala beberapa syarikat telekomunikasi lain menggunakan modem dan router gergasi teknologi China untuk menghantar isyarat wifi.

Ketika dihubungi, wakil syarikat telekomunikasi menyatakan masih belum ada arahan untuk menghentikan penggunaan produk Huawei.

Perang perdagangan antara AS dan China meningkat sejak minggu lalu, dengan syarikat-syarikat teknologi membuat keputusan langsung dan AS mengumumkan senarai hitam perdagangan ke atas Huawei.

Berikutan itu, beberapa syarikat teknologi berpangkalan di AS, termasuk Intel, Broadcom dan Qualcomm berhenti membekalkan komponen kepada Huawei.

Google juga segera membatalkan lesen Android Huawei.

Maxis pada Selasa menjelaskan bahawa telefon Huawei yang dikaitkan dengan tawarannya produknya tidak terkesan oleh pemberhentian lesen Android oleh Google.

“Pada masa ini, larangan itu tidak mempunyai impak ke atas tawaran telefon Huawei. Pelanggan masih boleh membeli telefon Huawei pilihan mereka dengan mana-mana pelan Maxis.

“Huawei juga memberi jaminan pelanggannya bahawa produk sedia ada tidak terjejas dan mereka boleh terus menggunakan perkhidmatan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA

Berita Harian X